Hasil komitmen berterusan yang diberikan ahli, Rumah Pembelajaran Pemulihan Sumber (RPPS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengumpul sebanyak 1,373.3 kilogram barangan kitar semula pada tahun 2020.

Menurut Ketua SIO Sisa dan Kitar Semula, Ts. Dr. Roslinda Ali jumlah kutipan bagi tahun 2020 menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya.

Katanya faktor utama yang menyumbang kepada penurunan adalah disebabkan oleh penutupan kampus yang disebabkan pandemik Covid-19.

“Pihak kami berharap agar jumlah kutipan bagi tahun 2021 akan meningkat selaras dengan pembukaan semula kampus secara berperingkat bermula awal tahun ini.

Tambah Dr. Roslinda lagi, kertas campur merupakan jumlah terbesar yang dikutip iaitu sebanyak 1,083.6 kilogram (78.9%).

“Pihak kami juga dapat mengumpul plastik iaitu sebanyak 14.1%, kertas kotak 6.3% dan aluminium 0.7%.

“Barangan kitar semula yang terkumpul akan diambil oleh pihak SWM untuk dilupuskan dengan kaedah yang betul,” katanya.

RPPS yang berlokasi di kampus induk berfungsi sebagai sebuah pusat pengumpulan barangan kitar semula yang telah memulakan operasinya sejak tahun 2018.

Pusat yang diselenggarakan oleh Pejabat Kampus Lestari UTHM ini adalah merupakan usaha bersama pihak UTHM dan SWM Enviroment Sdn. Bhd. bagi memberi kesedaran dan menggalakkan warga kampus serta penduduk sekitar untuk melakukan pengasingan sisa di punca.

Pihak Pejabat Kampus Lestari turut menyeru warga kampus khususnya untuk melakukan pengasingan sisa di punca dengan kaedah yang betul dan menghantar sisa yang dikutip ke RPPS.

“Usaha ini penting agar UTHM dapat menunjukkan contoh yang baik dan menjadi ikon kepada penduduk sekitarnya dalam menguruskan sisa pepejal,” tambah Dr. Roslinda.