Oleh Zikri Abu Samah, Helmi Mohd Nor dan Fathimah Afina

MERSING – Bagi memberi ruang dan peluang kepada belia untuk menyumbang idea, pandangan dan saranan mereka terhadap penambahbaikan pembangunan infrastruktur luar bandar, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor dengan kerjasama Felo Perdana Kementerian Kerja Raya dan Pusat Pembangunan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Jelajah Muafakat Johor: Integrasi dalam Pembangunan Infrastruktur bertempat di Shaz Resort Pulau Tinggi, Mersing Johor pada 29 hingga 31 Oktober lalu.

Menurut pengarah program, Amirul Faiz Abdul Latif yang juga Felo Perdana Kementerian Kerja Raya, idea dan pandangan mereka ini kemudiannya akan diketengahkan kepada pihak yang berkaitan bagi tujuan penambahbaikan.

Jelas beliau program ini juga diadakan untuk menggalakkan penglibatan belia secara komprehensif dan efektif dalam menyumbang idea dan pandangan ke arah pembangunan negeri Johor.

“Penganjuran program sebegini juga merupakan platform terbaik untuk mewujudkan hubungan strategik di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan golongan belia khasnya mahasiswa,” katanya.

Program yang turut mendapat sokongan daripada Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri ini telah disertai oleh barisan Felo Perdana dan penuntut institusi pengajian tinggi bidang kejuruteraan, pendidikan teknikal dan vokasional.

“Berdasarkan perbincangan berfokus yang diadakan, pelan cadangan melibatkan enam kluster telah  dirumus dan diperhalusi merangkumi pelbagai sektor dan aktiviti ekonomi berimpak tinggi yang dijangkakan dapat merancakkan lagi landskap ekonomi di negeri Johor ini.

“Bagi memastikan kejayaan pelan cadangan, lima teras strategik turut ditekankan iaitu berciri inklusif, berimpak tinggi, berdaya tahan, sistem penyampaian dan penilaian berkesan serta kesejahteraan sosial.

“Antara aspek yang turut diberikan perhatian adalah strategic infrastructure planner framework dan infrastructure prioritization framework yang dijangka dapat memacu pembangunan infrastruktur secara terancang dan berkesan untuk kawasan luar bandar,” tambah Amirul.

Beliau turut berharap lebih banyak pihak dan agensi memainkan peranan dan memperbanyakkan lagi penganjuran program seperti ini.

Sementara itu, Mohd Solihan pula turut menyokong penglibatan belia dalam memberikan sumbangan signifikan ke arah pembangunan negeri. Beliau menyeru belia khususnya di negeri Johor untuk terus memberikan sokongan pada inisiatif kerajaan dan menyambut baik dasar yang diperkenalkan demi memastikan kemakmuran negeri terpelihara.

 

Sesi pembentangan pelan cadangan

Sesi perbincangan dan percambahan idea dalam kalangan peserta

Mohd Solihan Badri memberikan pandangan dan maklumbalas terhadap pelan cadangan yang telah dibentangkan