Setelah 18 kali permohonannya untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda ditolak oleh beberapa universiti awam (UA), Mohamad Reeza Abd Patah kini berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Loji) dengan kepujian setelah berlangsungnya Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah sempena Konvokesyen Ke-20 UTHM pada 8 November 2020 lalu.

Menurut Reeza, permohonan kali ke 19 akhirnya diterima oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali gus mengubat kekecewaan hatinya selama ini.

“Ketika menamatkan pengajian diploma pada November 2014, saya berusaha keras untuk mendapatkan tempat di universiti awam namun semuanya gagal walaupun turut membuat permohonan rayuan.

“Saya juga mengambil inisiatif dengan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan dan mengirimnya sendiri ke beberapa UA tetapi hampir tiada maklum balas yang saya terima,” jelasnya lagi.

Keinginan yang kuat untuk menyambung pengajian akhirnya mendapat perhatian seorang ahli akademik yang kemudiannya meminta dia memohon semula kemasukan ke UTHM mengikut cara yang dicadangkan.

Berbekalkan beberapa dokumen penting, Reeza mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke kampus UTHM untuk bertemu dengan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Usaha dan kesungguhannya memandu sendiri dari Kemaman ke Batu Pahat mendapat perhatian Dekan fakulti tersebut pada ketika itu.

Akhirnya pada 15 Februari 2016, dia berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar UTHM dan berjaya menghabiskan pengajian ijazahnya selama empat tahun.

“Saya dengan sepenuh hati ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTHM kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran di sini sekali gus membuatkan ibu bapa dan keluarga berbangga dengan kejayaan saya hari ini,” katanya sambil tersenyum.