Muhamad Guntor terima Anugerah Ijazah Kehormat Konvokesyen ke-20 UTHM

Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam dunia perindustrian...

Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam dunia perindustrian lestari, pemuliharaan tenaga dan tenaga diperbaharui, serta kepimpinan dalam komuniti di peringkat negara dan antarabangsa.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini merupakan seorang Pengarah Urusan di Kumpulan Gading Kencana Sdn. Bhd., yang bertanggungjawab dalam semua aspek perniagaan syarikat dan terlibat secara aktif dalam sektor kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui di negara ini. Syarikatnya melaksanakan projek-projek mega berskala besar seperti mereka bentuk, memasang, mengendali dan menyelenggara sistem solar PV yang mampu menghasilkan tenaga elektrik daripada kuasa solar tanpa mengeluarkan karbon.

Pengalaman bekerja lebih dari 30 tahun dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan sains gunaan, teknologi kejuruteraan dan perniagaan melayakkan kepakaran beliau diiktiraf, sehingga dijemput untuk menjadi penasihat badan profesional antaranya Counselor of Alor Setar City Council, Advisory Panel of Solar Working Group for North Corridor Economic Region, Member of the Institution of Engineers Malaysia dan Registered Energy Manager with Energy Comission Malaysia.

Bagi membantu pembangunan negara, beliau juga aktif terlibat sebagai Lead Consultant for Development of Energy Efficiency and Renewable Energy Blueprint for Iskandar Malaysia Development Authority dan Project Director of the R&D team for the Development of a Power Quality Conditioning System, selain turut terlibat dengan prosedur audit tenaga.

Walaupun dengan kepadatan aktiviti beliau dalam industri tenaga, Muhamad Guntor masih menyumbang khidmat dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang beberapa jawatan antaranya Presiden Kelab Lindungan Alam Sekitar Alor Setar, Penasihat Persatuan Anak Minang Negeri Kedah, dan Past President Malaysia Association of Energy Service Companies.

Jasa dan bakti beliau kepada masyarakat dan negara turut diiktiraf apabila beliau dikurniakan beberapa Pingat Darjah Kebesaran seperti DSDK (Darjah Setia Diraja Kedah) yang membawa gelaran Dato’ pada 2014, KMN (Kesatria Mangku Negara), AMK (Ahli Mahkota Kedah), BKM (Bintang Kebaktian Masyarakat) dan PJK (Pingat Jasa Kebaktian).

Beliau turut menyumbang tenaga dan menabur bakti di UTHM sebagai Penasihat Industri bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) selama dua tahun. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai program telah dilaksanakan bersama beliau antaranya program Aspirasi Kerjaya dan lawatan industri.

Justeru itu, penganugerahan ijazah kehormat ini amatlah wajar bagi menghargai jasa dan sumbangan yang dicurahkan beliau kepada negara dan universiti ini.

Categories
Latest News

RELATED ARTICLE