“Pada mulanya saya bukanlah pelajar cemerlang, pernah kecewa dengan keputusan akademik walaupun telah belajar bersungguh-sungguh,” cerita Mek Zi Cong, 24 yang terpilih menerima Anugerah Sultan Ibrahim untuk Konvokesyen Ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Namun kegagalan tersebut telah mendorong Cong untuk merangka semula cara pembelajaran kerana sudah menjadi impiannya untuk bergraduan dengan kelas pertama.

“Pada semester berikutnya saya terus menyusun semula jadual waktu dan cuba menjadikan diri lebih berdisiplin dengan jadual itu.

“Saya sangat gembira dengan keputusan akademik yang kian cemerlang setiap semester apabila lebih berdisiplin, bijak membahagi masa dan aktif semasa di dalam kelas,” ceritanya.

Menurut Cong lagi, dia juga kerap bertanya pensyarah dan kawan-kawan jika tidak memahami sesuatu topik atau isu.

Tidak cukup dengan itu, anak kelahiran Johor ini turut bergiat aktif dalam sukan renang untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah yang ada dalam dirinya.

“Saya menyertai sukan renang ini untuk mengisi masa yang terluang di samping ingin meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri dengan cara bergaul dengan ramai rakan-rakan,” katanya.

Cerita Cong lagi, bagi mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung ibu bapa sepanjang pengajian, dia juga memilih untuk bekerja sambilan di setiap cuti semester.

“Bekerja sambilan ini membantu saya lebih memahami kehidupan dan dapat mengingatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

Cong sempat berpesan kepada rakan-rakan lain yang masih belajar supaya dapat mengimbangi sebaiknya bidang akademik dan kokurikulum kerana dunia kini memerlukan graduan yang cemerlang dalam pelbagai aspek untuk bersaing di pasaran kerja.