BATU PAHAT, 18 Ogos – Setelah hampir setengah tahun dunia dilanda wabak Covid-19 yang diisytiharkan sebagai pandemik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( UTHM) hari ini melancarkan kempen norma baharu bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus dalam memperkasakan lagi usaha memerangi wabak ini.

Pelancaran itu dibuat ketika berlangsungnya Majlis Refleksi Pencapaian Setengah Tahun 2020 yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam sesi ucaptama berkata norma baharu bukan sahaja sekadar penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri, tetapi ia merupakan satu ikhtiar yang berpanjangan untuk memerangi ancaman virus ini tanpa menjejaskan tanggungjawab dan amanah masing-masing sebagai pelajar mahupun warga kerja.

Beliau menyeru warganya agar sentiasa mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan agar wabak ini tidak kembali menular dalam kalangan warga universiti seperti yang terjadi sebelum ini.

Turut diutarakan, laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2020 bagi setengah tahun yang mencatatkan beberapa rekod untuk perhatian dan tindakan seluruh warga.

Datuk Wahid merumuskan secara keseluruhannya, KPI utama UTHM sehingga 30 Jun lalu menunjukkan beberapa kluster perlu diberikan lebih perhatian bagi memastikan sasaran dapat dicapai pada tahun ini.

Beliau turut menyampaikan anugerah KPI cemerlang kepada beberapa kluster yang mencapai sasaran dan berharap seluruh warga kerja universiti akan terus bekerja keras dengan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan pencapaian universiti terus mengalami peningkatan walaupun negara masih dibelenggu dengan pandemik Covid-19.

UTHM dalam majlis yang sama turut melancarkan nombor plat kenderaan khas bersiri ‘UTHM’ setelah melaksanakan penjualan pre-booking bermula Februari lalu. Upacara pelancaran nombor siri tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Haji Mohd. Sofi Haji Osman. Nombor plat yang melibatkan 9999 nombor itu dijual secara e-Bida kepada staf, alumni, pelajar dan orang awam. Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pusat Wakaf dan Endowmen ini adalah sebagai usaha universiti menjana pendapatan sendiri.

Turut dilancarkan, dua buku terbitan Pejabat Penerbit untuk dijadikan warkah yang boleh disimpan dan dijadikan pedoman serta kenangan kepada masyarakat, khususnya warga kampus. Dua buku tersebut melibatkan judul bertajuk ‘Buku Pengurusan Covid-19 UTHM’ yang merekodkan segala tindakan dan aktiviti yang telah dilaksanakan oleh staf dan pelajar UTHM sewaktu pandemik ini mula melanda negara. Manakala buku ‘Covid-19: Kehidupan dan Cabaran’ pula menghimpunkan pelbagai pengalaman penulis yang sarat dengan elemen keinsafan, yang mengajak pembacanya untuk menghayati dan mensyukuri nikmat kehidupan. _tamat