SIMPANG RENGGAM – Isu berkaitan bekalan air bersih yang bermasalah dan kerap terputus sering dihadapi penduduk sekitar kawasan Simpang Renggam, Johor sejak 10 tahun lalu. Limpahan larut resapan daripada tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam I telah dikenal pasti menjadi punca utama berlakunya pencemaran di Sungai Benut yang merupakan sumber air mentah untuk dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) sebelum dibekalkan kepada penduduk Simpang Renggam dan kawasan sekitarnya.

Bagi menyahut saranan pemimpin Parlimen Simpang Renggam untuk melestarikan kawasan tersebut, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) berhasrat untuk melaksanakan pemindahan amalan terbaik pengurusan sisa makanan menggunakan teknik pengkomposan berasaskan teknologi hijau di semua sekolah di daerah Simpang Renggam. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Tuan Haji Ishak Mahbob dan Penolong Bidang Matematik dan Sains, Puan Sa’edah Roowah, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang. Pengkomposan sisa pepejal organik seperti sisa makanan diyakini merupakan salah satu kaedah awal dalam pengurangan sisa organik ke tapak pelupusan sampah.

Ketua penyelidik, Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata, projek tersebut memberi fokus kepada pengurangan sisa makanan organik khususnya sisa yang terhasil dari kantin sekolah. Program ini turut dibantu oleh tujuh orang pensyarah di fakulti dan dua orang pelatih siswazah di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (KTP), Dr. Noor Amira Sarani dan Cik Nur Fatin Nabila Hissham.

Jelasnya, antara sekolah yang terpilih untuk menjadi perintis awal dalam melaksanakan projek tersebut ialah SMK Simpang Rengam, SMK Seri Machap, SMK Dato’ Ibrahim Majid, SMK Seri Lalang, SMK Layang-layang, SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, SMK Dato’ Haji Hassan Yunus, SK Kg. Dato’ Ibrahim Majid, SJK(T) Jalan Bukit Rengam dan SJK(C) Tuan Poon.

“Secara keseluruhan terdapat 36 buah sekolah di daerah Simpang Renggam, makanya untuk menjadikan kajian ini lebih efektif, kami telah membahagikan kumpulan kepada 10 buah sekolah rintis dan baki 26 buah sekolah lagi sebagai ‘sekolah angkat’ kepada sekolah rintis tersebut.

Sebagai permulaan, projek ini dimulakan dengan beberapa siri latihan kepada guru dan pelajar bagi menerangkan tentang penyediaan cecair penapaian, medium pengurai dan proses pengkomposan serta kepentingannya.

“Selain itu, cara mengendalikan proses penyediaan untuk pengkomposan juga ditunjukkan untuk memastikan kualiti kompos yang akan dihasilkan adalah dalam kualiti yang terbaik,” kata Dr. Aeslina.

Tambah beliau lagi, guru dan pelajar bukan sahaja diberi penerangan malah turut disediakan bahan-bahan bagi menghasilkan baja kompos menggunakan kaedah Takakura Home Method (THM), yang akan dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Malah katanya kaedah THM merupakan kaedah pengkomposan yang praktikal kerana sisa makanan boleh terurai dan berubah bentuk seawal satu hingga dua hari jika kompos berada dalam keadaan yang baik.

Untuk rekod, kaedah pengkomposan ini mula diperkenalkan pada tahun 2002 oleh Profesor Koji Takakura, iaitu penyelidik dari Jepun merangkap Timbalan Pengarah Wakamatsu Environment Research Institute, untuk mengitar semula sisa makanan menjadi baja kompos.

“Lebih menarik, seramai tujuh pensyarah kanan dan mahasiswa dari FKAAS secara sukarela bekerjasama dalam melaksanakan salah satu objektif projek tersebut iaitu pelaksanaan Program Kesedaran Pengurusan Sisa Makanan Menggunakan Teknik Pengkomposan Berasaskan Teknologi Hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, Tuan Haji Khiru Nasir  Rohani berterima kasih kepada pengurusan UTHM yang sanggup meluangkan masa untuk berkongsi kaedah pengkomposan kepada pelajar sekolah dan guru.

“Program kesedaran ini membuka minda para pelajar dan juga warga pendidik untuk menjalankan aktiviti pengkomposan yang hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati seperti tempe, gula merah, tanah, sekam padi dan sisa makanan sebagai sumber pengkomposan, malah proses pengendaliannya juga mudah.

“Kami mendapati bahawa sepanjang projek ini dilaksanakan, pembuangan sisa makanan dari kantin sekolah ke tapak pelupusan sampah berjaya dikurangkan sekali gus dapat mempraktikkan konsep ‘zero food waste’ di sekolah.

“Kami juga bercadang untuk menggunakan baja kompos organik yang terhasil sebagai bahan pemangkin kepada projek tanaman pokok di sekitar kawasan sekolah,” katanya.