Bukit Mertajam –  Bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran yang ada, empat orang penyelidik dari Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICOE-REL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid telah mengadakan program Lawatan Penilaian Penyelidikan Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RAMS) ke Stesen Pengantara Elektrifikasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Simpang Ampat dan Pusat Kawalan Elektrifikasi di Bukit Mertajam pada 29 Januari lalu.

Program ini melibatkan kerjasama bersama pihak industri iaitu Prestigious Discovery Sdn. Bhd. (PDSB) dan KTMB yang diketuai oleh Ir. Mohamad Asri Yusoff, Pengurus Besar Sistem Elektrifikasi Depoh Penyenggaraan.

Lawatan ini bertujuan untuk membuat penilaian berkenaan dengan Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RAMS) untuk Projek Landasan Berk?embar Elektrik (P?LBE) KTMB Gemas-Johor Bharu.

RAMS adalah bidang kejuruteraan yang mengintegrasikan cir-ciri kebolehpercayaan, ketersediaan, penyelenggaraan dan keselamatan terhadap sesuatu reka bentuk peranti dan sistem kereta api yang digunakan.

Menurut Dr. Nor Aziati,  RAMS sebelum ini telah dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi memastikan sistem kereta api di Malaysia memenuhi ciri-ciri utama sistem pengangkutan iaitu ketepatan waktu, selamat dan kos yang efektif.

“Ia juga mempunyai potensi yang besar untuk meningkatkan daya saing antara kereta api dengan mod pengangkutan lain terutamanya pengangkutan jalan.”

“Oleh itu, pengurusan RAMS menjadi isu yang penting dalam industri kereta api abad ini dan ia secara beransur-ansur diperluaskan dalam perancangan pembangunan rangkaian kereta api negara masa kini mahupun akan datang,” katanya.

Tambah beliau lagi para penyelidik dari ICOE–Rel UTHM komited bekerjasama dengan pihak industri dalam meneroka dan memperluaskan lagi pengetahuan dan juga kemahiran berkaitan RAMS melalui program kerjasama dan perundingan bagi memastikan liputan keretapi di Malaysia ini dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk.