BATU PAHAT – Kelab Pascasiswazah Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (KEPSIS),  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program 3rd  Symposium Of Postgraduate Research And Publication : The Intersection Of Psychology And TVET Towards IR 4.0 bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI) pada 6 hingga 7 November lalu.

Program anjuran bersama Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) dan Pusat Kaunseling UTHM ini berjaya menerima penyertaan seramai 30 orang pembentang kertas penyelidikan daripada pelbagai disiplin dan institusi pengajian seluruh Malaysia.

Menurut Penasihat KEPSIS, Ts. Dr. Alias Masek penganjuran simposium edisi yang ketiga ini bertujuan memartabatkan peluang dan ruang penyelidikan pelajar pascasiswazah UTHM bersama para pelajar dan penyelidik luar.

“Penganjuran kali ini menyenaraikan lima sub-tema iaitu Pendidikan, Keusahawanan, Sosial Sains dan Kemanusiaan, Teknologi dan Perlancongan dan kesemua artikel penulisan tersebut bakal diterbitkan dalam penerbitan kertas jurnal bertaraf Scopus serta jurnal atas talian seperti Online Journal for TVET Practitioner,” katanya.

Tambahnya lagi, program anjuran kali ini terbahagi kepada dua pengisian iaitu penganjuran bengkel dan forum perbincangan.

“Sepanjang simposium berlangsung, dua bengkel telah dijalankan secara serentak iaitu bengkel Writing Social Science Journal To Index By Scopus dan Thematic Analysis pada hari pertama manakala pada hari kedua pula berlangsung dua forum lagi bertajuk The Life Of Postgraduate & How To Survive: Academically & Emotionally dan Diferent School Of Thought – Research Method,” jelasnya.

Majlis perasmian yang berkonsepkan makan malam telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FPTV, Profesor Madya Ts. Dr. Badaruddin Ibrahim yang juga merupakan penasihat program ini.

Turut diadakan, persembahan daripada Kelab Kebudayaan UTHM, pertandingan kahoot, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada pembentang kertas penyelidikan yang terbaik.