C43I0885Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Seminar Technology Update 2018 yang bertemakan Teknologi Bilik Kuliah Pintar bagi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) pada 18 November lalu melibatkan hampir 1000 peserta terdiri daripada warga pendidik.

Penganjuran seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan perkongsian berkaitan teknologi pendidikan yang terkini kepada agensi-agensi pendidikan di negeri Johor.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik telah menyempurnakan majlis perasmian penutup seminar tersebut yang diadakan pada hari yang sama sekali gus turut melancarkan MyRIVET iaitu satu institusi penyelidikan TVET peringkat nasional yang akan membantu pembangunan sumber tenaga.

Hadir sama ke majlis tersebut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Dr. Ir Siti Hamisah Tapsir; Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly; Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Shaharudin Sharif dan Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah.

Dr. Maszlee dalam ucapannya menyatakan pentingnya penglibatan pemain-pemain utama teknologi pendidikan dalam dan luar negara dan agensi-agensi pendidikan di negeri Johor dalam mewujudkan ruang kerjasama pada masa akan datang.

“Usaha KPM untuk melengkapi sekolah dengan keperluan elemen PAK21 memerlukan kos yang tinggi, khususnya bagi tujuan pengubahsuaian kelas.

“Walau bagaimanapun sudah terdapat sekolah yang mempunyai kelas PAK21 yang dibiayai Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), selain persatuan alumni dan sektor swasta juga sumbangan pihak luar.

“Sebagai contoh saya difahamkan, pihak UTHM sendiri telah menyumbangkan sebuah Interactive Flat Panel bersaiz 75 inci kepada Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim di Kluang sebagai simbolik kerjasama antara UTHM dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam eksplorasi teknologi PAK21 di Malaysia,” ucap beliau.

Dr. Maszlee dalam ucapannya turut bersetuju dengan penubuhan sebuah institusi penyelidikan TVET di peringkat nasional, yang juga dikenali sebagai Malaysia Research Institute For Vocational Education & Training (MyRIVET).

Menurut beliau, Institut penyelidikan ini akan bertanggungjawab melaksanakan proses mengumpul, menganalisis dan menilai data berkaitan TVET serta menyebarluas dapatan penyelidikan berkaitan TVET melalui khidmat dan latihan secara profesional.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr Wahid dalam ucapannya berkata UTHM akan memainkan peranan secara serius dalam penubuhan institut ini kerana pihak universiti menyedari betapa pentingnya menyokong perkembangan TVET yang positif di negara ini serta menyediakan penyelidikan dan penilaian berdasarkan bukti penyelarasan maklumat dan operasi dalam kalangan pengamal TVET yang pelbagai di Malaysia.

“Institut ini diharap dapat membantu kerajaan dan industri dalam pembangunan sumber tenaga di Malaysia,” tambahnya lagi.

Dalam majlis tersebut Dr. Maszlee turut menyaksikan majlis penyampaian bantuan daripada pihak industri iaitu Extreme Networks, BenQ, Crestron, Haier, Logitech, Projector Doctor, QNAP,RICOH dan Sangfor kepada UTHM bagi tujuan Dana Penyelidikan dan Inovasi  universiti ini.