AFANDIProfesor Madya Dr. Afandi Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 November 2018 hingga 14 November 2021. Lantikan ini telah dibuat oleh Menteri Pendidikan Malaysia menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (6) Perlembagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pelantikan ini adalah bagi menggantikan Profesor Madya Dr. Asri Selamat yang tamat tempoh pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) pada 14 November lalu.

Afandi,39 mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi alumni UTHM pertama yang dilantik jawatan sebagai TNC (HEPA) di universiti ini. Beliau sebelum ini turut melakar sejarah dalam lanskap kepimpinan UTHM apabila menjadi individu pertama dan termuda menggalas amanah sebagai Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) bermula 1 Ogos 2017 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.

Ketika ditanya mengenai hala tuju yang ingin dibawa beliau, Afandi menyatakan beberapa hasrat untuk memperkukuhkan peranan HEPA di universiti ini antaranya dengan memberi fokus kepada keberhasilan mahasiswa yang kompeten melibatkan lima aspek iaitu Kebitaraan Diri, Akhlak dan Integriti, Jasmani dan Emosi, Kesukarelawan serta Inovatif.

“Untuk membolehkan lima keberhasilan ini dicapai, pelbagai tindakan strategik perlu dirangka bagi membolehkan impak positif diraih oleh mahasiswa khususnya.”

“Dengan tema ‘Memacu Pengalaman Kampus Menyeluruh’ saya melihat gagasan ini adalah bagi membolehkan tempoh keberadaan mahasiswa di universiti dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu kecemerlangan diri bagi mendepani cabaran dunia sebenar di luar sana yang semakin kompleks,” katanya.

Menyingkap kepimpinannya yang terdahulu, anak jati kelahiran Johor ini juga pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Pengetua bagi Kolej Kediaman Perwira (KKP) pada masa yang sama, selain pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKEE serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Komputer seawal usia 26 tahun.

Ketika berada di KKP dan FKEE dahulu, pemegang ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari Brunel University, London ini pernah melakukan pelbagai transformasi semasa menggalas dua jawatan serentak pada ketika itu.

Antaranya KKP berjaya dianugerahkan status Kolej Kediaman Cemerlang selama empat tahun berturut-turut iaitu 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan ini merupakan catatan sejarah dalam kalangan kolej kediaman di UTHM. Selain itu, aktiviti pelajar di KKP juga diiktiraf di peringkat kebangsaan dan menjadikan KKP pelopor sebagai Kolej Kediaman Karbon Rendah selain dalam aspek inovasi dan modul holistik pelajar.

Kepimpinan beliau terus menyerlah apabila apabila FKEE berjaya disenaraikan dalam Top 400 QS World University Ranking by Subject bagi tahun 2016 serta pengiktirafan cemerlang bagi program akademik sarjana mudanya. Dengan slogan “Transformasi Minda” pelbagai usaha positif dilaksanakan di FKEE misalnya dengan mewujudkan sistem sokongan pelajar menerusi Transformasi Minda Mahasiswa (TMM) selain memberikan fokus kepada usaha memperkukuh muafakat dalam kalangan staf dan pelajar.

Walaupun sibuk dengan tugas, beliau tetap menyelia para pelajar di bawahnya dengan cemerlang sehingga mereka mampu meraih pelbagai kejayaan di beberapa pertandingan inovasi peringkat nasional seperti Innovate Malaysia Design Competition (IMDC). Memimpin dua organisasi serentak bukanlah mudah namun beliau komited dalam aspek akademik, antaranya sebagai perintis awal di universiti berkaitan Project Oriented Problem Based Learning (PoPBL), selain terus aktif dalam penyelidikan dan inovasi menerusi pelbagai pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa serta merupakan ahli bersekutu bagi Young Scientist Network, Akademi Sains Malaysia selain berperanan sebagai penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Shamsuddin Mikroelektronik dan Nanoteknologi (MiNT-SRC) UTHM.

Di peringkat media nasional, beliau turut aktif menulis artikel ilmiah dan isu-isu semasa dan merupakan salah seorang kolumnis untuk ruangan Muka Sepuluh di Berita Harian yang lazimnya ditulis oleh tokoh-tokoh besar dan berpengaruh.

Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly serta seluruh warga UTHM merakamkan ucapan terima kasih kepada Profesor Madya Dr. Asri atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai TNC (HEPA).

Pihak universiti juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Profesor Madya Dr. Afandi dan berharap beliau mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang.