resizeUniversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melantik Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim sebagai Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa pada 15 November 2018 sehingga 30 November 2020.

Pelantikan ini dibuat bagi menggantikan Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad yang menamatkan perkhidmatannya sebagai PNC (PSPK) pada 14 Oktober lalu.

Mengimbau sejarah mula, Ahmad Tarmizi yang telah berkhidmat selama lebih 25 tahun di universiti ini dahulunya merupakan Pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia yang terlibat merancang serta menubuhkan Pusat Latihan Staf Politeknik pada 16 Sept 1993. Kemudiannya beliau telah dipinjamkan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diberi kuasa oleh kerajaan untuk mentadbir PLSP pada ketika itu.

Beliau sebelum ini merupakan Dekan Pusat Pengajian Siswazah sebelum menamatkan perkhidmatan beliau bagi menerajui jawatan baharu ini. Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam dan Struktur dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga pernah diberi kepercayaan menjawat jawatan Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT) selama tiga penggal bermula tahun 2013 sehingga tahun 2017. Sepanjang tempoh itu, beliau telah membawa beberapa pembaharuan dalam pembangunan infrastruktur dan ICT universiti antaranya menerapkan kepentingan semangat kerja berpasukan di pejabat selain menekankan pengamalan integriti dalam pekerjaan melalui penubuhan jawatankuasa tadbir urus dan integriti bagi memantapkan tadbir urus di PPH.

Selain itu, Ahmad Tarmizi juga pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Pengarah Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Harta Bina serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar.

Walaupun sibuk dengan jawatan giliran yang disandangnya sejak tahun 2008 lagi, Ahmad Tarmizi tetap aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penerbitan dan turut menyelia hampir 100 pelajar peringkat sarjana muda, sarjana serta PhD selain menghasilkan lebih daripada 70 kertas kerja persidangan dan jurnal.

Bagi meningkatkan lagi daya saing dan kemampuan diri, beliau turut menganggotai beberapa badan pertubuhan di peringkat nasional antaranya Board of Engineers Malaysia (BEM), The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) selain turut memegang jawatan Penolong Komisioner Penjara (PKP, SISKOR) di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan Ahli Panel Pakar Bidang bagi Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Tarmizi ketika ditemubual berharap dapat menjalankan amanah ini sebaiknya dengan memastikan peranan dan hala tuju pejabat di bawah kepimpinannya dapat direalisasikan.

“Saya berharap UTHM terus maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi khususnya dalam revolusi industri 4.0 agar UTHM boleh memenuhi hasrat penubuhan asalnya oleh Kerajaan Malaysia iaitu menyediakan graduan teknologis dan teknokrat TVET berkualiti demi keperluan negara,” katanya.