KU HASNAN BIN HAJI KU HALIM
6 FEBRUARI 2018

MALAYSIA, sebagai suatu entiti politik, mula wujud pada 16 September 1963, ditubuhkan dengan menyatukan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada masa itu dengan Singapura, Borneo Utara (sekarang dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Persekutuan yang baharu ini dinamakan Malaysia dan ia terus berada dalam Komanwel sebagai sebuah negara merdeka. Kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara sangat terikat dengan kestabilan politik dan pengurusan sumber manusia dan aslinya.

Malahan kekuatan Malaysia terletak kepada kemampuannya membina mekanisme mengurus masyarakat pelbagai budaya yang boleh menjadi divisive kepada keharmonian dan kestabilan.

Di Malaysia, perpaduan merupakan elemen yang amat penting dalam menzahirkan landskap kestabilan politik dan seterusnya menjadi prasyarat utama dalam mewujudkan kesejahteraan hubungan yang harmonis dalam kalangan masya-rakat pelbagai kaum.

Sejarah telah mencatatkan peristiwa permuafakatan politik dalam kalangan barisan pemimpin pelbagai kaum di ambang kemer-dekaan bersatu dan berpadu hati dalam merencanakan tarikh keramat 31 Ogos, 1957; di mana kedaulatan tanah air dari belenggu  penjajahan dari pihak British ke tangan kita kembali.

Sejak merdeka, usaha murni telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengekalkan keharmonian dan tolak ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ia penting sebagai landasan negara memacu perkembangan ekonomi, pemantapan rancangan pembangunan sosiobudaya serta mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Dalam hal ini, Malaysia mempunyai beberapa acuan untuk mengurus isu perpaduan negara dan integrasi nasional. Acuan ini telah diguna pakai untuk menyusun atur, merancang dan melaksanakan pembangunan dan pemerintahan di Malaysia.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan bahasa.  Pengurusan perhubungan kaum yang harmoni di antara rakyat pelbagai budaya telah menjadi perkiraan asas dalam negara ini semenjak mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

Acuan pertama yang terbina daripada kemahuan bersama rakyat mahu memerdekakan negara daripada penjajah Inggeris ialah permuafakatan politik dengan terbinanya Parti Perikatan Umno-MCA-MIC pada 1954 dan semangat permuafakatan kaum diteruskan oleh BN yang ditunjangi parti Umno.

Setelah rusuhan kaum dalam tahun 1969 terjadi, perpaduan negara adalah di antara matlamat utama dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru 1974-1994, Dasar Pembangunan Negara 1994-2024 dan pembentukan negara industri, demokratik dan progresif melalui Wawasan 2020.

Dasar-dasar pembangunan negara ini telah meletakkan batu asas acuan Malaysia yang kedua di mana pembangunan ekonomi negara diikat dengan falsafah pembangunan ekonomi yang mesti diikat dengan pengagihan di antara kaum, miskin-kaya, desa-bandar dan wilayah. Dengan terbina ikatan di antara rakyat pelbagai budaya ini, diharapkan kestabilan sosiopolitik dan pembangunan ekonomi di negara ini akan terjamin dan dapat berjalan secara berterusan.

Pembangunan negara yang sentiasa mencapai kadar pertum-buhan ekonomi yang pesat hingga ke hari ini semenjak tahun 1990-an, telah memodenkan negara sehingga struktur masyarakat agraria telah mengalami perubahan ke arah budaya hidup kelas menengah yang mengutamakan konsumerisme dan kualiti hidup.

Perubahan sosial ini telah berjaya melentur perkiraan kaum dan agama sebagai asas perhu-bungan sosial di antara individu dari pelbagai kaum hingga lahir masyarakat yang stabil, makmur dan harmoni.

Justeru, modeniti dan pembangunan di Malaysia telah berjaya menghakis sentimen primordial yang sering dikaitkan dengan etnisiti dan agama. Kesan modeniti dan pembangunan dalam melentur sifat divisive dan emotif pada etnisiti dan agama ini diperkukuhkan lagi dengan acuan tadbir urus kerajaan Malaysia yang berjaya merasional-legalkan kehendak perkauman dan agama ini dalam bentuk pentadbiran negara hingga kepentingan yang nampak berbeza diurus dengan baik dan dinikmati bersama oleh masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

Matlamat perpaduan negara yang diingini dan cabaran pem-bangunan masa kini menghendaki institusi rukun tetangga, khususnya diperkasakan lagi bagi memastikan institusi ini sentiasa berupaya untuk menangani masalah sosial dan setiap perubahan dalam masyarakat ini agar dapat diurus dengan baik dalam proses pembingkaian negara dan bangsa Malaysia.

Pemahaman dan penghayatan terhadap Prinsip Rukun Negara akan membantu dalam merealisasikan kesinambungan dan kemakmuran proses untuk kita bernegara. Negara kita Tanggungjawab Kita!

**Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Sumber : Pembinaan acuan negara bangsa