Dalam dunia ini terdapat 16,000 spesies semut yang telah dinamakan secara saintifik. Antara ribuan  spesies semut ini terdapat lebih kurang 33 spesies dalam kumpulan genus Echinopla yang terdapat di Australia, Filipina, Papua New Guinea, Indonesia, India dan Malaysia.

Di Malaysia telah dikenalpasti terdapat sebanyak 15 spesies Echinopla. Spesies yang terbaru dijumpai merupakan yang ke 16 dan merupakan spesies kedua dari Johor yang mana spesies pertama iaitu Echinopla wardi telah dijumpai di Kota Tinggi, Johor.

Spesies Echinopla yang baharu ini telah dikutip dari atas tumbuhan-tumbuhan renik di tepi Sungai Bantang, Hutan Simpanan Lipur Sungai Bantang pada bulan Mei 2017 lalu. Spesies ini berukuran 5.48 mm panjang dan berwarna hitam. Kebanyakan spesies Echinopla yang lain badannya mempunyai bulu, tetapi spesies Echinopla yang baharu ini tidak mempunyai bulu.

Memandangkan dalam dunia terdapat kumpulan-kumpulan ahli taksonomi (Myrmecologists) yang mengkaji semut maka pihak Centre of Research; Sustainable Uses of Natural Resources (CoR-SUNR), Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghantar spesimen ini kepada Dr. Herbert Zettel yang mengetuai kumpulan pengkaji Echinopla di Natural History Museum Vienna, Austria. Dr. Zettel telah mengesahkan bahawa semut ini merupakan spesies baharu.

Penemuan Echinopla ini merupakan satu kejayaan pertama bagi CoR-SUNR dan UTHM. Bagi menghargai penemuan penting ini maka penyelidik-penyelidik CoR-SUNR sebelum ini telah memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang juga Canselor UTHM  untuk menamakan spesies ini. Rentetan itu pada Mac 2018 lalu, Tuanku Canselor telah berkenan menamakan spesies baharu semut ini sebagai Echinopla tunku-abduljalilii.

Dengan persetujuan penamaan spesies ini, ‘International Code of Zoological Nomenclature’ (IZCN) iaitu sebuah badan antarabangsa yang menguruskan penamaan spesies baru akan mengeluarkan satu kenyataan  pengesahan sekali gus akan rasmilah nama Echinopla tunku-abduljalilii  ini. Nama ini pula akan terus kekal dan hanya akan hilang sekiranya spesies ini mengalami kepupusan.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat juga penamaan spesies berkaitan dengan keluarga DiRaja iaitu Rafflesia tengku-adlinii yang pernah ditemui di Sabah.

 

Tahukah Anda?

Nama spesies-spesies Echinopla yang berjaya dikumpul dari Malaysia.

  1. Echinopla cherabunjiensis (dijangka ada di Malaysia)
  2. Echinopla circulus (Sarawak)
  3. Echinopla densistriata (Sabah & Sarawak)
  4. Echinopla lateropilosa (Perak)
  5. Echinopla lineata (Seluruh Malaysia)
  6. Echinopla fisheri (Sabah)
  7. Echinopla madli (Utara Semenanjung Malaysia)
  8. Echinopla mezgeri (Sabah)
  9. Echinopla melanarctos (Sabah)
  10. Echinopla rugosa (Sabah)
  11. Echinopla striata (Seluruh Malaysia)
  12. Echinopla pallipes (Sabah & Sarawak)
  13. Echinopla subtilis (Sabah)
  14. Echinopla tritschleri (Sabah)
  15. Echinopla wardi (Johor)
  16. Echinopla tunku-abduljalilii (Johor)