Batu Pahat – Bagi memperkenal, menyebarluas dan berkongsi nilai-nilai budaya Melayu bersama masyarakat luar, seramai 14 mahasiswa, tiga orang pegawai pengiring Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum dan seorang pegawai perhubungan dari Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif dengan menyertai program mobiliti berkredit outbond UTHM-TUFS, Jepun pada 21 hingga 27 Julai 2017 lalu.

Program mobiliti yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran, Dr. Khairunesa Isa ini merupakan program mobiliti outbound sulung Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK).

Selaras dengan Visi PPUK untuk menjadi pusat akademik bertaraf dunia yang memupuk atribut holistik dan mandiri dalam kalangan graduan untuk kebaikan kehidupan sejagat, program yang bertemakan “Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU” ini dilihat sebagai program rintis bagi melihat impaknya kepada mahasiswa dan juga universiti.

Beberapa aktiviti menarik telah dilaksanakan dalam program ini antaranya mengadakan aktiviti perkongsian ilmu pengetahuan di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS). Dalam program ini, pelajar Jepun yang mengambil kursus Bahasa Melayu telah berdebat dengan pelajar UTHM manakala sebahagian lagi pelajar TUFS diajar menulis tulisan khat. Program yang berlangsung selama hampir empat jam itu diakhiri dengan Majlis Pra Perasmian FIESKOM 2017 oleh Profesor Soda iaitu Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Melayu di TUFS. Dengan berlangsungnya perasmian ini secara tidak langsung mengangkat FIESKOM 2017 anjuran PPUK sebagai program di peringkat antarabangsa.

Selain itu, peserta mobiliti turut menerima jemputan daripada Sekolah Rendah Jindaiji untuk berkongsi tentang keunikan seni gendang budaya. Bermula dengan sesi pengenalan terhadap Malaysia dan UTHM, anak-anak samurai di sana juga diperkenalkan dengan manual membuat kompang dan kemahiran bermain kompang. Apa yang menarik, pelajar UTHM dan pelajar Sekolah Rendah Jindaiji telah membuat persembahan dengan menggabungkan antara gendang Jepun dan kompang Malaysia.

Lebih membanggakan apabila pasukan mobiliti turut mendapat jemputan untuk membuat persembahan kompang daripada Majlis Daerah Chofu sempena Majlis Pra Perasmian Sukan Olimpik2020. Paluan kompang yang bergema di Daerah Chofu itu berjaya menarik minat hampir 2000 samurai di sana untuk mencuba pakaian tradisional Baju Kurung dan Baju Melayu selain belajar bermain kompang.

Menurut Ketua persembahan Kompang Saudara Ahmad Wafri Ahmad Wardi, 19 pengalaman mengetuai persembahan kompang merupakan pengiktirafan terbesar dalam hidupnya setakat ini. Walau pun beliau telah memenangi banyak pertandingan kompang di peringkat kebangsaan semenjak berumur 11 tahun namun, pengalaman bermain di pra pelancaran Olimpik 2020 Jepun merupakan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hidupnya dan rakan-rakan. Bukan itu sahaja, pemilihannya menyertai program mobiliti ini juga dilihat platform terbaik bagi dirinya dan mahasiswa lain untuk meneroka pengetahuan yang boleh diaplikasikan di universiti apabila mereka pulang nanti.

Memegang amanat Dekan PPUK, Profesor Dr. Rosman Md Yusoff agar mengambil nilai-nilai positif melalui peluang mobiliti, maka aktiviti-aktiviti yang dijalankan lebih menjurus kepada penelitian dan penerapan nilai-nilai murni yang diperolehi melalui pemerhatian pelajar khususnya dalam konteks kemajuan ekonomi, teknologi, adab sopan dan disiplin serta integriti masyarakat Jepun.

Sementara itu Penyelaras program, Encik Yuslizar kamaruddin pula berkata secara keseluruhannya program ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan budaya Melayu melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, usaha PPUK menjalankan program di peringkat antarabangsa khususnya memperkenalkan FIESKOM 2017 di persada dunia turut mencapai sasaran.

“Apa yang penting, peserta program mobiliti secara langsung dan tidak langsung telah berjaya menerapkan nilai-nilai insaniah melalui kerjasama secara berkumpulan, kemahiran kepimpinan, menyelesaikan masalah dan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

jepun 21