Pusat Sukan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kejuaraan Silat Seni Asli Edisi Ke-8 2017 yang berlangsung pada 2 hingga 30 julai lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI), kampus induk.

Kejuaraan yang berlangsung selama tiga hari ini melibatkan beberapa acara iaitu Solo Tari Tangan Kosong, Solo Tari Bersenjata, Solo Pendekar Tangan Kosong, Solo Pendekar Bersenjata, Pendekar Ulung, Tempur Tangan Kosong, Tempur Bersenjata, Silat Pulut Berpasangan Tangan Kosong, Silat Masal Tangan Kosong, Muzik Silat Baku, Muzik Bebas, Solo Kreatif Tangan Kosong dan Solo Kreatif Tangan Kosong.

Kejuaraan ini telah menarik penyertaan seramai 150 orang yang terdiri daripada pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusaka Gayong Kelantan, Warok Putro menggolo, Pusaka Gayong Johor, Persatuan Seni Silat Jawa, Sligi Tunggal Angkatan, Pahang Darul Makmur, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Silat Sendeng Panambahan, SK Bandar T6 dan Negeri Sembilan.

Pasukan dari Negeri Sembilan iaitu Abdul Hadi Nasution Mohamed dan Mohd Fitri Mohd Isham bertahan sebagai juara dalam acara Silat Pulut Berpasangan Tangan Kosong kategori Putera dengan jumlah mata kemenangan sebanyak 74.3 mata.

Manakala Juara Kesuluruhan disandang oleh pasukan Pahang Darul Makmur memperoleh empat Emas, lima Perak dan satu Gangsa. Pasukan UPSI mendapat Naib Juara kesuluruhan dengan pungutan pingat empat Emas, satu Perak dan tiga Gangsa. Tempat Ketiga Keseluruhan pula berpihak pada pasukan Pusaka Gayong Johor dengan pungutan tiga Emas, dua Perak dan lima Gangsa.

Pesilat terbaik Putera disandang oleh Muhammad Ikhmal Hakim Mohd Rosli, anak kelahiran Perlis mewakili pasukan UNIMAP. Beliau merangkul pingat emas dalam dua acara iaitu Solo Tari Tangan Kosong dengan jumlah mata 70.1 dan acara Solo Tari bersenjata dengan jumlah kesuluruhan 70.2.

Pesilat terbaik puteri pula dirangkul oleh Nur Haizatul Farisha Norasid yang mewakili pasukan Pahang Darul Makmur. Gadis kecil ini membuka mata semua juri serta para penonton dengan bakat dan seni silatnya dengan menyertai acara Solo Tari Bersenjata dan mendapat tempat pertama dengan jumlah keseluruhan 71.2.

Nur Haizatul membuktikan bahawa saiz fizikal yang kecil bukan penghalang untuk mengetengahkan bakat yang sedia ada. Gadis tersebut turut menyertai acara Silat Tekong Tangan Kosong kategori bebas. Penyertaannya dalam kumpulan yang terdiri dari empat putera iaitu Mohd Juned Abdullah, Muhammad Shukrillah Badrillah, Nurhafizi Faqrur Islam Norasid dan Luqman Muhamad telah membawa mereka ke tempat pertama dengan pungutan mata sebanyak 71.3.

Hadiah kejuaraan telah disampaikan oleh Encik Azli Puddin dan Encik Ahmad Bakhtiar Babjan yang turut menyempurnakan upacara penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI).

Pusat Sukan UTHM berterima kasih atas komitmen yang diberikan oleh para pengurus, jurulatih, penyelaras serta sukarelawan yang banyak membantu dalam segala aktiviti dan program yang dijalankan dan juga kepada atlet yang banyak berkorban masa serta wang ringgit demi meraih kemenangan.

silat(1)