Oleh Dr. Afandi Ahmad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Elektronik (FKEE UTHM)

World Economic Forum telah menggariskan kepentingan penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity di semua peringkat pengajian. Ini memberikan gambaran jelas bahawa cabaran globalisasi semakin sukar dibendung. Selain itu, senarai 10 kemahiran utama yang diperlukan oleh majikan dengan elemen complex problem solving berada di tangga pertama untuk tahun 2020 juga jelas menunjukkan kesinambungannya dengan elemen 4C ini.

Beriltizam untuk memastikan elemen 4C diperkemas sebaiknya dalam diri siswa di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Transformasi Minda Mahasiswa (TMM4Cs) buat julung kalinya merintis jalan dengan pelaksanaan program bermula pada 24 Julai 2016 lalu. Untuk fasa pertama ini, seramai 18 pelajar FKEE tahun pertama dan kedua masing-masing melakukan transformasi minda menyertai program ini walaupun atas pembiayaan sendiri dan dilangsungkan pada cuti semester.

Pelbagai sub-aktiviti bagi menajamkan elemen 4C diketengahkan, antaranya sesi berkaitan matematik kejuruteraan dan aplikasinya, pengaturcaraan MATLAB, pendawaian elektrik, pembangunan dan pengujian litar elektronik serta rekabentuk litar tercetak. Semua aspek ini dilihat sebagai kemahiran asas yang diperlukan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Tidak cukup dengan itu, elemen lain bagi 4C juga diperkukuh menerusi sesi berkaitan penyediaan slaid pembentangan berkesan, komunikasi berkesan merangkumi penulisan emel dan dokumen yang profesional serta huraian berhubung aspek kepimpinan dan kerja berpasukan. Kemahiran pengucapan awam juga diberikan penekanan dengan semua peserta diminta menyampaikan pengucapan bagi memperkembang kebolehan berinteraksi dan daya fikir mereka juga.

Merumuskan program TMM4Cs adalah menerusi pelaksanaan projek berkumpulan berasaskan pembelajaran berasaskan masalah (PBL) dengan tema yang dipilih adalah berkaitan masalah sebenar sistem fertigasi cili. Peserta diminta melakukan integrasi antara komponen tenaga boleh diperbaharui bersama objek rangkaian Internet (IoT) untuk produktiviti cili yang lebih tinggi. Kedua-dua domain ini diangkat kerana perkara-perkara ini sedang hangat diperhalusi oleh pelbagai pihak, termasuklah pihak industri. Menyoroti idea awal, cetusan pelaksanaan TMM4Cs ini adalah hasil buah fikiran oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin yang mahukan semua siswa diasah secara serius dengan elemen 4Cs yang kini menjadi tonggak cabaran abad ke 21.

Para peserta yang mengikuti program ini dalam komentarnya menjelaskan bahawa usaha ini adalah cemerlang dan mesti dikembangkan kepada semua pelajar lain di FKEE. Ini juga dilihat oleh mereka sebagai satu keistimewaan belajar di FKEE yang begitu menekankan aspek Transformasi Minda sebagai jenama FKEE ke arah memberikan pengalaman pembelajaran berkesan kepada semua pelajarnya.

Ringkasnya, program TMM4Cs adalah usaha awal yang wajar diberikan kredit dan dikembangkan kepada semua peringkat. Selain daripada usaha ini bertujuan untuk memperkukuh kecemerlangan para pelajar, perkara ini juga diyakini menjadi antara perkara yang menarik perhatian badan profesional seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) berhubung aspek akreditasi. Ini disebabkan oleh jurutera yang ingin dilahirkan bagi memenuhi kehendak negara dan pasaran global perlulah cemerlang bukan sahaja dalam aspek keilmuannya malah lebih daripada itu, selari dengan aspirasi lonjakan pertama dalam Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia (Pengajian Tinggi).