Berita UTHM

Menyediakan Prasarana Rakyat

ISMAIL OMAR  |  15 Julai 2016 6:20 PM

SALAH satu bidang keutamaan yang terdapat di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah menambah baik dan menyediakan infrastruktur atau prasarana terutamanya di luar bandar. Infrastruktur yang disediakan boleh menjadi pemangkin bagi menjana ekonomi rakyat. Bagi menyediakan infrastruktur, pihak kerajaan perlu mengeluarkan banyak kos terutama sekali bagi membayar pampasan tanah yang diambil. Tanah-tanah diperlukan untuk menyediakan infrastruktur bagi menjalankan pelbagai bentuk pembangunan seperti perumahan, perindustrian, perdagangan dan juga pertanian. Infrastruktur diperlukan untuk menjalankan pelbagai bentuk pembangunan fizikal. Lantaran, tanah perlu diambil untuk menyediakan infrastruktur bagi memajukan kawasan bandar dan luar bandar. Infrastruktur yang dimaksudkan termasuklah lebuh raya, jalan raya, jambatan, dewan orang ramai, membina kemudahan pusat transformasi, padang permainan, masjid, sekolah dan sebagainya.

Melalui peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, pihak kerajaan menggubal Akta Pengambilan Tanah pada 1960 untuk menyediakan tanah bagi maksud pembangunan awam. Maka, agensi-agensi kerajaan yang memerlukan tanah boleh membuat permohonan untuk mendapatkan tanah mengikut proses dan prosedur di bawah Akta Pengambilan Ta­nah 1960 (Akta 486). Akta ini memberi kuasa kepada agensi kerajaan mengambil tanah-tanah yang sesuai untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan rak­yat. Tanpa mengikuti proses dan prosedur di bawah perundangan ini, pengambilan tanah akan terbatal. Akibatnya, pembangunan hartanah tidak dapat dijalankan atau tergendala, meng­akibatkan kerugian kepada agensi kerajaan dan juga rakyat sendiri.

Namun, hasrat murni kerajaan menyediakan kemudahan awam kepada rakyat sering terganggu. Ada yang melihat pengambilan tanah sebagai cekauan tanah untuk diberikan kepada agensi tertentu. Agensi berkenaan boleh memajukan tanah atau menjual semula kepada pihak ketiga. Nilai tanah akan meningkat setelah masa berlalu dan mereka mendapat keuntung­an. Mereka melihat pengambilan tanah seakan-akan pengagihan semula kekayaan negara kepada golongan tertentu. Akibat persepsi yang negatif ini, penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, dewan orang ramai, laluan MRT dan sebagainya tertangguh. Pe­nangguhan bermakna kos yang meningkat dan masa lebih panjang diperlukan untuk me­nyiapkan projek rakyat yang berkenaan. Persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan supaya pembangunan diletakkan pada landasan yang betul dan projek dapat dijalankan dengan lancar.

Peruntukan di bawah Akta 486 juga menentukan amaun pampasan yang mencukupi dibayar kepada pemilik tanah yang berdaftar. Pemilik tanah berdaftar adalah pemilik yang namanya tercatat pada surat hakmilik atau geran tanah. Di bawah Jadual Pertama, perkara yang boleh dituntut dinyatakan dengan terperinci. Selain nilai tanah yang diambil, pemilik juga dibayar pecah-pisah apabila tanah terbelah dua dan nilainya mengurang. Pemilik juga dibayar apabila tanahnya diambil sebahagian. Mereka juga dibayar tuntutan kacau ganggu dan kos sampingan yang berkaitan. Jika pemilik masih tidak puas hati semasa siasatan, mereka boleh membawa perkara ini hingga ke mahkamah tinggi. Ahli profesional hartanah boleh membantu dalam hal ini. Di sana, keputusan adalah muktamad.

Bagaimanapun senantiasa timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pemilik sekalipun pada pandangan penilai, nilai pampasan sudah tinggi. Antara alasannya, pampasan perlu diagihkan kepada pemilik yang ramai, mereka tiada tanah lain untuk berpindah dengan keluarga yang besar dan memang tidak mampu untuk membeli rumah ganti.

Di India, ahli politik dan orang ramai menggesa supaya undang-undang pengambilan tanah dipinda. Penduduk miskin yang tanah mereka diambil pihak korporat merasakan mereka tidak mendapat keadilan sejati. Akta Pengambilan Tanah 1894 dikatakan digubal British untuk kepen­tingan mereka. Bukan untuk penduduk India. Pindaan pada 2014 mencadang­kan supaya dijalankan Kajian Impak Sosial bagi mengenal pasti kesan sosio­ekonomi sebenar daripada pengambilan tanah.

Pengambilan tanah seluas 398.8 hektar yang dicadangkan Tata Motors di Bengal telah dibantah dan dibatalkan. Cadangan pengambilan tanah untuk membina Empangan Sardar Sarovar di Sungai Narmada yang dibiayai Bank Dunia juga telah dibatalkan. Akhir­nya, Akta Pengambilan Ta­nah 1894 telah diganti dengan Akta Hak Mendapatkan Pampasan Adil dan Ketelusan dalam Pengambilan Tanah dan Penempatan Semula 2014 yang dikatakan lebih telus dan adil.

Pindaan 2016 telah dibuat untuk melicinkan lagi proses pengambilan tanah. Pindaan mengambil kira urusan berkaitan strata dan stratum. Namun, terdapat juga isu-isu pengambilan tanah yang rumit dan mendesak telah terpinggir seperti keperluan mewujudkan pentadbir tanah yang profesional. Pentadbir Tanah Profesional perlu untuk menambah baik hal-ehwal pengambilan tanah. Pindaan juga sepatutnya mengiktiraf Konsultan Pengambilan Tanah Profesional untuk menjalankan kerja-kerja pengambilan tanah dengan lebih cekap dan profesional.

Selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), pindaan akta ini juga wajar menubuhkan Tribunal Tanah untuk mempercepat proses mengadili konflik yang timbul dalam hal-ehwal pengambilan tanah. De­ngan beberapa pindaan terhadap Akta Pengambilan Tanah 1960, urusan menambah baik proses dan prosedur pengambilan tanah boleh dilakukan. Bermakna kita memperkasa landasan pentadbiran tanah menuju negara maju yang berwawasan dan berkemajuan tinggi.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah pensyarah di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/menyediakan-prasarana-rakyat-1.353702#sthash.PIuptwck.dpuf

Related Posts

Hobi mengait beri manfaat kepada wanita berkerjaya

Bagi wanita berkerjaya, tuntutan tugasan di tempat kerja selalunya boleh menjadi perkara yang memberi tekanan…

Tadarus al-Qur’an, amalan sunnah

Bulan Ramadan adalah bulan al-Qur’an dan Allah SWT memuliakan bulan ini kerana padanya diturunkan al-Qur’an.…

Tinggalkan Balasan