Bagi mempamerkan semangat patriotisme dalam kalangan warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu program Kayuhan Kemerdekaan yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin telah diadakan pada 17 Ogos lalu bertempat di persekitaran kampus.
Program kayuhan basikal anjuran bersama Pejabat Pendaftar dan Kelab Kebajikan Staf Pejabat Canselori (Kasturi) yang melibatkan Pimpinan Universiti dan ahli kelab ini diadakan bersempena majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan yang ke-58 peringkat universiti.
Kayuhan sepanjang enam kilometer mengelilingi kampus itu bertujuan untuk mengedarkan bendera Malaysia kepada Pusat-pusat tanggungjawab di UTHM untuk dikibarkan sepanjang bulan kemerdekaan ini.
Sementara itu satu majlis pelancaran turut diadakan pada hari yang sama bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-58, di samping sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk dan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga universiti.
Semasa majlis berlangsung, Naib Canselor menyerahkan bendera Malaysia kepada Pendaftar sebagai simbolik Pelancaran Bulan Kemerdekaan ke 58 dan turut melekatkan bendera Malaysia pada Kenderaan UTHM bersama Pimpinan Universiti yang lain.
Sambutan yang bermula pada 17 Ogos hingga 16 September ini akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, kibaran jalur gemilang di setiap kenderaan milik warga universiti, penyertaan perbarisan kemerdekaan peringkat negeri, tayangan video dokumentari dan filem-filem patriotik serta majlis penutup bulan kemerdekaan yang dijadual berlangsung pada pertengahan September akan datang.

Source: UTHM pamer semangat patriotisme sempena sambutan Kemerdekaan Negara ke-58