Oleh KU HASNAN KU HALIM
Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malysia (UTHM)

Dalam konteks negara ini, kemerdekaan adalah suatu perjuangan mengangkat dan mendaulat martabat bangsa. Walaupun terdapat tarikh pengisytiharannya yang spesifik, tetapi ia bukanlah sesuatu yang statik atau antik. Sebaliknya, ia sesuatu yang dinamik dan berpanjangan – dulu, kini dan selamanya.

Kemerdekaan negara ini tidak datang dengan mudah. Ia terhasil melalui semangat dan keringat oleh para nasionalis pejuang. Ramai yang sekadar mengingat proses perundingan di London. Tetapi, rombongan perunding negara itu bukan pergi dengan sejarah perjuangan yang kosong. Mereka pergi dengan latar belakang sebagai bangsa pertama di wilayah sebelah sini yang mengangkat senjata melawan kuasa besar dari luar – suatu sejarah perjuangan yang sarat air mata, darah dan nyawa. Jelasnya, kemerdekaan negara ini terhasil melalui perjuangan dan pengorbanan. Ia mesti dipertahankan.

Kemerdekaan negara adalah kemerdekaan rakyat dari perhambaan dan penjajahan kolonial British yang mengongkong dan menekan hasrat kebebasan. Sistem perlembagaan yang diperuntukkan oleh Parlimen dan diperundangkan adalah sistem yang menjamin hak dan kebebasan rakyat dan kedaulatan syiar Islam.

Kemerdekaan menjamin hak kebebasan untuk berpolitik, bermasyarakat, bersuara, berfikir, beragama, dan mengamalkan fahaman yang dianuti dan menentukan dasar dan cara hidup tersendiri yang sesuai dengan keadaan dan tuntutan zaman.

Namun begitu, kesan penjajahan pemikiran masih menular dalam kalangan kita. Banyak fahaman yang menyalahi ajaran Islam masih berleluasa dalam masyarakat, seperti fahaman yang pasrah kepada takdir (fatalisme), sosialisme, dan faham pembaratan. Kita juga dipandang prejudis oleh orang Barat seperti yang diistilahkan dalam ungkapan Islamophobia.

Sempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Patriotisme tahun ini, marilah kita memperbaharui semula tekad dan keazaman kita untuk menyintai dan sayangkan negara. Menjadi seorang yang patriotik dan berjiwa Malaysia bukan sahaja dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menjadi soldadu atau perajurit, bahkan semangat patriotisme boleh dikibarkan di daerah setempat atau tempat-tempat bekerja.

Kesedaran tentang integriti, sivik, bermoral, amanah, jujur, telus, menunaikan tanggungjawab dan komited terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah antara manifestasi patriotisme yang boleh kita praktikkan. Kita patut bersyukur kepada ALLAH SWT atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi. Kita bebas ke sana ke mari beribadah, bekerja, makan angin, belajar dan menjalani kehidupan dalam persekitaran yang aman, tenteram, sejahtera dan harmoni.

Ada negara di mana rakyatnya hidup dalam ketakutan kerana perang saudara, peperangan dengan kuasa luar, darurat, bencana alam yang berpanjangan, konflik etnik dan bermacam musibah lain. Kita mampu mengekalkan inti pati kemerdekaan kerana kita bersatu padu, bertolak ansur, saling memahami dan bekerjasama dalam kemajmukan masyarakat Malaysia yang merdeka. Nilai keamanan dan keharmonian ini perlulah kita pelihara dan kita bajainya sepanjang masa.

Pengisian kemerdekaan dan patriotisme juga adalah dengan cara mengungguli ilmu pengetahuan. Dengan kekuatan ilmu, aqidah dan perpaduan kita berjaya membebaskan negara ini daripada penjajah. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya berilmu pengetahuan dan ramai cendekiawannya, membuat penemuan dalam bidang sains, teknologi, sains sosial dan kemanusiaan.

Malaysia kaya dengan hasil mahsul yang banyak yang menuntut agar kepentingan rakyat termiskin dibela dan kesenangan serta kekayaan rakyat terbanyak dijamin. Kepentingan rakyat harus didahulukan dan muafakat serta kerjasama untuk membela nasib rakyat harus ditingkat dan diperhebat.

Inilah semangat merdeka yang hakiki, menuntut agar dipertahan prinsip keadilan dan maslahat rakyat. Kita harus memupuk keadilan dan menggali khazanah serta warisan Islam agar dapat memetik hemah dan kebijaksanaan dari kepakaran silam dan memperkuat cita-cita perjuangan untuk memperkasa agama dan mendaulatkan negara yang menjadi tonggak kesatuan umat.

Diterbitkan di http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/merdeka-ketaatan-keberanian-jiwa-1.556916