Pasukan UTHM Paddlers, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya muncul juara di Kejohanan Head of Putrajaya apabila menyapu bersih dua pingat emas kategori lelaki dan wanita boat 8+ peringkat kebangsaan sekali gus mengulangi semula kejayaan buat kali ketiga berturut-turut sejak kejohanan ini mula diperkenalkan pada tahun 2012.
Kejohanan yang telah berlangsung pada 19 hingga 21 September 2014 bertempat di Kelab Tasik Putrajaya dan Kompleks Sukan Air Presint 6 Putrajaya ini telah disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed selaku penaung dan pengerusi Kelab Tasik Putrajaya. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan.
Sejak mula kejohanan ini diperkenalkan, Pasukan UTHM muncul pasukan terbaik untuk menjuarai juara keseluruhan dan membawa pulang Piala Chairman Trophy sebagai piala pusingan kejohanan. Bagi kategori peringkat antarabangsa yang mula dipertandingkan pada tahun ini Pasukan UTHM berjaya menduduki tempat ketiga, manakala secara keseluruhan pingat yang di menangi ialah dua emas dan satu gangsa.
Status ‘Juara bertahan’ pasukan UTHM mendapat tentangan yang sengit daripada pasukan-pasukan negeri, Institut Pengajian Tinggi Awam, kelab-kelab sukan tanah air dan negara-negara luar seperti Thailand, Indonesia serta Singapura sekali gus menghangatkan lagi kejohanan pada tahun ini.
Kehebatan Pasukan UTHM Paddlers mengekalkan kejuaraan adalah hasil usahama semua pihak terutama Pusat Sukan UTHM, pihak pengurusan tertinggi, jurulatih dan atlit-atlit yang tidak pernah mengenal penat lelah dan erti kekalahan demi membantu menaikkan nama UTHM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Source: UTHM Paddlers muncul juara kali ketiga di Kejohanan Head of Putrajaya 2014