Hampir 65 peratus bayi di Malaysia berisiko mengalami jaundis atau lebih dikenali sebagai demam kuning. Pada masa ini, teknik kuantifikasi dan pengesahan penyakit ini adalah bersifat invasif, iaitu menyakitkan dan tidak mesra bayi. Sehubungan dengan itu, dengan iltizam untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat, kaedah kuantifikasi bilirubin yang tidak invasif bagi mengesan jaundis dipilih sebagai domain kajian projek sarjana muda (PSM) Saudara Zulfadhli Bin Osman, pelajar tahun akhir, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE). Di bawah seliaan Dr Afandi Bin Ahmad, projek ini juga melibatkan kolaborasi dengan pakar kanak-kanak di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Dr Azizan Bin Aziz.

Kajian ini telah dipilih antara 35 projek terbaik dalam pusingan akhir IMDC 2014 yang berlangsung pada 28 Ogos 2014. Kajian ini telah berjaya meraih kedudukan naib johan untuk trek MathWorks dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000 dan perisian MATLAB & Simulink Student Edition. Untuk rekod, pertandingan ini yang dianjurkan oleh DreamCatcher adalah terbuka kepada projek tahun akhir di seluruh Malaysia dan dinilai oleh pihak industri.

Kejayaan ini secara langsung menunjukkan kualiti PSM yang dijalankan di FKEE adalah diiktiraf dan cemerlang, serta sewajarnya menjadi inspirasi kepada para pelajar yang bakal menjalankan PSM untuk menghasilkan kualiti projek yang membanggakan.

uthmmenang