Satu Majlis Angkat Sumpah dan Pemakaian Pangkat Kor Sispa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diadakan semasa Perhimpunanan Kor SISPA yang diadakan di Pentas Kebudayaan, UTHM pada 27 September lalu.
Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Ishak Baba, selaku wakil rasmi PPj. Kehormat (PA) Prof. Dr. Wahid Razzaly, Komandan SISPA UTHM telah menyampaikan beberapa amanat ketika majlis tersebut berlangsung.
Beliau dalam ucapan amanatnya berharap penglibatan mahasiswa-mahasiswi dalam Kor SISPA UTHM ini dapat membentuk keperibadian, disiplin dan sahsiah diri serta terus patuh kepada undang-undang yang telah digariskan.
“Saya berharap anggota-anggota Kor SISPA yang akan ditauliahkan ini bukan sahaja menjadi contoh kepada warga universiti yang lain malah mereka nanti akan terus berkhidmat sebagai sukarelawan JPAM atau menjadikan profesion  ini sebagai kerjaya mereka,” katanya.
Perhimpunan kali ini juga menyaksikan pemakaian pangkat Pegawai Kadet SISPA Junior yang diketuai oleh Muhammad Alif Ahmad Tarmizi, dan dibantu oleh Pegawai Kadet SISPA Junior Roslina Mamat.  Manakala Pegawai Kadet SISPA Intermediat pula diketuai oleh Noor Adila Md Don dan dibantu oleh Pegawai Kadet SISPA Intermediat Siti Bassyirah Ibarahim.
Sementara itu, pemakaian pangkat Pegawai Kadet SISPA Senior pula diketuai oleh Ikhwan Mohamed & dibantu oleh Pegawai Kadet SISPA Senior Fatin Liyana Morsid serta Ketua Pegawai Kadet SISPA Rujukan Tinggi diketuai oleh Muhammad Farhan Hassan, Pegawai Kadet SISPA Rujukan Tinggi Muhammad Zul Asyrani Nora dan Pegawai Kadet SISPA Rujukan Tinggi  Muhammad Hazwan SaifulQahar.
Turut diadakan bacaan ikrar SISPA UTHM diketuai oleh Pegawai Kadet SISPA Rujukan Tinggi Muhammad Farhan Hassan yang juga selaku Pengerusi Majlis Perwakilan SISPA (MPS) yang baru dilantik. Bacaan ikrar tersebut bertujuan untuk menaikkan semangat dan menyedarkan para pelajar Kor Sispa terhadap tanggungjawab dan amanah yang dipikul.
Turut hadir Mejar Bersekutu (PA) Norza Iskandar Helmi bin Abdullah, Ajutan SISPA UTHM, Pegawai-pegawai Bersekutu, Ketua Jurulatih, Jurulatih-jurulatih dan anggota-anggota SISPA UTHM.