Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menang tempat Ketiga secara keseluruhan di dalam Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kebangsaan Kor SISPA Kali Kelima bagi tahun 2014 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 16 hingga 19 Ogos lalu.
Kontinjen Kor SISPA UTHM diwakili oleh 110 orang ahli yang terdiri daripada 63 Pegawai Kadet SISPA, 37 Pegawai Bakal Tauliah serta 10 orang pegawai dan jurulatih. Dengan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan, Kor SISPA UTHM telah berjaya menjadi johan di dalam Pertandingan “Menyelamat” manakala “Melawan Kebakaran” di tempat keempat dan “Pertolongan Cemas” serta “Pertandingan Kawad Kaki” masing-masing di tempat kelima.
Dalam perhimpunan yang disertai oleh 26 institut pengajian tinggi ini, seramai 37 Pegawai Kadet SISPA UTHM telah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda (PA) di dalam Majlis Pentauliahan Pangkat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan upacara pentauliahan tersebut yang melibatkan seramai 445 orang Pegawai Kadet SISPA IPT.
Persediaan dan usaha keras yang dilakukan serta komitmen tinggi yang diberikan oleh kontigen sebelum pertandingan ini banyak membantu dalam membentuk dan memantapkan penyertaan Kor SISPA UTHM pada tahun ini. Sokongan dan bantuan yang berterusan daripada Pejabat Negeri Pertahanan Awam Johor dan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Batu Pahat juga telah menambahkan lagi semangat pasukan untuk terus mengekalkan kecemerlangan.
Tahniah dan syabas buat Kor SISPA UTHM.
sispa 2