Bagi mendekatkan pelajar dengan masyarakat setempat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kokurikulum telah menganjurkan programkhidmat masyarakat ‘University-Community Engagament (UCE),’ pada 23 Mei lalu bertempat di Taman Cendana, Pasir Gudang Johor.
Program yang mendapat kerjasama daripada Pejabat Menteri Besar Johor, Pejabat Daerah Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada UTHM kerana berjaya melaksanakan UCE ini seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
“Saya agak terharu kerana program UCE ini akhirnya dapat direalisasikan walaupun saya tidak lagi memegang portfolio tersebut. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
UCE merupakan satu program yang diterapkan kepada semua pelajar yang mengikuti kursus Kokurikulum di UTHM.  Ia juga merupakan salah satu saluran sosial untuk membina serta mendorong para pelajar menyemai semangat kekitaan, jati diri dan juga keprihatinan antara satu sama lain. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kemahiran insaniah pelajar, merapatkan jurang antara pelajar dan masyarakat, membentuk peluang untuk pelajar menyumbangkan ilmu dan kemahiran untuk dimanfaatkan secara bersama.
Bersempena majlis perasmiannya, pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tiga hari program berlangsung antaranya program ‘Bacaan Yassin’ dan juga ‘Tahlil Perdana’. Program ini juga mendapat sambutan diluar jangkaan oleh penduduk Taman Cendana selain daripada penglibatan seramai 116 pelajar UTHM dan empat orang pensyarah dari Kursus Khidmat Masyarakat.
Projek Rakan Komuniti ini akan dijalankan selama dua tahun, berbeza dengan  program khidmat masyarakat sebelum ini yang memerlukan jangkamasa yang singkat sahaja untuk melaksanakannya. Projek ini bertemakan kepimpinan, kesukanan, pendidikan, kebersihan, kesihatan, keselamatan, kerohanian, kemahiran, fizikal dan ekonomi.
Bagi mencapai matlamat projek, iaitu menjadikan Taman Cendana sebagai taman contoh dengan mendapat persijilan ISO 9001:2008 dan 5s, pelbagai acara telah dirancang. Antara elemen-elemen penting yang akan diaplikasikan dalam projek ini adalah iaitu kelestarian, kos yang rendah, dan kesan yang amat tinggi kepada masyarakat. Pelaksanaan projek seperti ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan warga universiti seterusnya dapat membantu negara meningkatkan lagi kemudahan sosial kepada masyarakat.
Disediakan oleh:
Dr. Marlina
Pengajar Kursus Khidmat Masyarakat
Pusat Kokurikulum UTHM