Seramai 95 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan anggota Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Kor SUKSIS) telah menyertai program “University Community Engagement”(UCE) di Pusat Transformasi Luar Bandar (Mini RTC) Desa Temu Jodoh, Chaah pada 15 hingga 17 Mei lalu.
Program dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini merupakan salah satu daripada beberapa siri program UCE yang telah dirancang oleh universiti di beberapa Mini RTC terpilih peringkat negeri Johor. Penganjuran program seperti ini adalah bertujuan menyahut hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan lagi nilai-nilai keusahawanan, kepimpinan, inovasi, warganegara cemerlang dalam kalangan mahasiswa di samping membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang tiga hari program berlangsung antaranya aktiviti khidmat masyarakat, “English Learning” dan “Speed Memory” di Sekolah Kebangsaan Desa Temu Jodoh, pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti, sesi kerohanian oleh Pusat Islam UTHM dan juga aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi bersama keluarga angkat serta masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Labis,YB Datuk Chua Tee Yong telah menyempurnakan upacara pelancaran Karnival Mini RTC Desa Temu Jodoh dan program UCE UTHM ini. Hadir sama, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM; Puan Esah Markom, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Komuniti Info Desa, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Cik Norazila Jamingin, Pengurus Mini RTC Desa Temu Jodoh.
temu jodoh