Bagi wanita yang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah, mereka terutamanya yang bekerja dari rumah (WFH) terpaksa menghadapi beberapa cabaran. Ini kerana wanita yang berkeluarga dan bekerjaya ini perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil dan juga menguruskan pembelajaran secara atas talian untuk anak lain yang masih bersekolah. Walaupun ramai wanita dan ibu di luar sana mempunyai suami yang turut membantu, namun masih ada yang terpaksa mengurus sendiri urusan pekerjaan dan rumahtangga lantaran si suami juga terpaksa melaksanakan tugas WFH atau menjadi barisan hadapan membendung Covid 19.
Cabaran lebih besar turut dihadapi oleh wanita yang bergelar ibu tunggal. Bukanlah satu tugas yang mudah bagi wanita untuk mengurus tugas pejabat, mengurus anak kecil serta mengurus sekolah di rumah bersama anak-anak pada masa serentak. Semua tugas dan tanggungjawab ini boleh mendatangkan stress kepada diri jika tidak ditangani dengan sewajarnya. Berikut disertakan beberapa tips untuk mengurus kehidupan dan mengurangkan stress sepanjang tempoh PKP ini.
Pengurusan kerja pejabat dari rumah
- Bangun awal pagi dan mulakan tugas anda sebelum anak-anak kecil anda bangun dan mula aktif.
- Pastikan anda mempunyai tempat untuk membuat kerja pejabat. Anak-anak yang bersekolah juga perlukan ruang untuk belajar. Tidak semestinya bilik khusus, anda boleh lakukan kerja atau belajar sama ada di dapur atau di ruang tamu mengikut keselesaan dengan gangguan yang paling minimum.
- Bersedia untuk bekerja secara fleksibel. Jangan buat diri anda tertekan, bersedia untuk ambil masa seketika untuk berinteraksi dengan anak dan pasangan anda sambil bekerja supaya hubungan anda dengan mereka kekal baik.
- Kekalkan fokus anda. Sekiranya anda tidak dapat fokus untuk menyelesaikan kerja pejabat untuk tempoh lapan jam bekerja seperti kebiasaan di pejabat, jangan bimbang ia adalah perkara biasa, sekurang-kurangnya sebahagian kerja tersebut berjaya dilakukan. Lakukan dengan fleksible, kurangkan tekanan dengan bekerja sambil mendengar siaran radio atau membaca maklumat dari internet untuk mengetahui perkembangan semasa. Dengan cara ini produktiviti kerja masih boleh dikekalkan. Ingat jangan terlalu mengharap kesempurnaan.
- Ambil masa untuk berehat sebentar sekurang-kurangnya 15 minit untuk setiap dua atau tiga jam. Selain untuk makan tengah hari anda boleh lakukan pergerakan seperti berjalan untuk menggerakkan otot badan. Ini akan dapat mengurangkan ketegangan setelah anda melakukan kerja dalam tempoh agak lama di hadapan komputer.
- Berhenti jika kerja anda telah selesai dan tumpukan urusan anda bersama keluarga.
Pengurusan anak-anak dan keluarga
- Kepada mereka yang mempunyai anak kecil, jangan fikirkan kesempurnaan. Kesempurnaan itu memang baik tetapi menjadi terlalu sempurna itu kadang kala akan memberi tekanan kepada diri sendiri dan anggota keluarga yang lain. Adalah normal jika keadaan rumah bersepah seketika, biarkan anak-anak bermain selagi mereka tidak membahayakan diri sendiri.
- Pastikan anak anda sentiasa sibuk dengan aktiviti mereka. Rancang pelbagai aktiviti anak supaya mereka fokus kepada aktiviti tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh anda melakukan kerja penting. Contohnya anda boleh muat turun video dari internet atau membuat doh tepung untuk anak-anak bermain.
- Ajar-ajar anak-anak supaya bersama-sama membantu dalam urusan rumah tangga. Anak-anak seawal umur empat tahun boleh diajar untuk menyimpan barangan permainan selepas mereka bermain.
- Anak yang berumur tujuh tahun keatas boleh membantu anda melakukan kerja rumah seperti menyapu sampah, membasuh dan menyidai baju dan lain-lain.
- Buat jadual tugasan di samping jadual belajar harian anak-anak yang bersekolah. Pastikan mereka juga bangun awal pagi seperti kebiasaan hari persekolahan dan mulakan tugasan harian dan belajar pada awal pagi. Ajar mereka untuk membuat semakan kerja-kerja sekolah oleh guru-guru yang perlu disiapkan. Semak kerja mereka setelah kerja pejabat anda selesai.
- Ajar anak-anak untuk menyediakan makanan sendiri atau membantu anda menyediakan makanan dengan masakan mudah.
- Sekiranya anak masih kecil dan tidak dapat membantu, lakukan kerja rumah seperti membasuh dan memasak pada waktu malam dan dapatkan bantuan suami untuk melakukan sebahagiannya. Suami isteri perlu bekerjasama. Anda boleh juga memasak secara pukal dan simpan makanan tersebut dalam peti sejuk beku, anda hanya perlu panaskan untuk hidang ketika diperlukan. Ini lebih menjimatkan masa.
- Ajar anak-anak mengikut keupayaan umur mereka menggunakan peralatan dapur mudah dan selamat seperti Airfyer. Sediakan makanan mudah sedia seperti roti serta ajar sekurang-kurangnya mereka boleh menggoreng telur. Ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap anda terutama pada saat-saat genting anda perlu meyelesaikan tugasan kerja pejabat.
Jangan jadikan tempoh PKP ini sebagai tempoh yang membuatkan diri anda berada dalam keadaan stress. Pengurusan masa dan kerja yang baik akan memberikan anda keselesaan walau di mana sahaja anda perlu bekerja.
Oleh : Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia