Peningkatan sisa organik dan sisa klinikal ketika penularan wabak COVID-19

Kerajaan Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020. Namun, penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat menyebabkan PKP dilanjutkan sehingga 28...

Kerajaan Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020. Namun, penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat menyebabkan PKP dilanjutkan sehingga 28 April 2020. “Satu langkah yang munasabah” inilah pendapat kebanyakan rakyat Malaysia. Namun, sedarkah kita PKP ini juga menimbulkan tindak balas di luar jangka? Antaranya tindak balas daripada pengusaha produk pertanian dan orang awam.

Produk pertanian berubah menjadi sisa organik setelah ianya dibuang. Pada 9 April lalu,  kira-kira 50 tan sayuran daripada 20,000 ekar kawasan pertanian telah disia-siakan dengan  dibuang begitu sahaja kerana tiada pembeli. Sebelum itu, pada 27 Mac, lebih daripada 10 tan buah-buahan di Lembah Kelang juga telah dibazirkan.

Susulan daripada pengesahan Covid-19 sebagai pandemik, orang awam telah mula dinasihatkan untuk menggunakan alat perlindungan diri (PPE).  Sehubungan itu sisa klinikal seperti sarung tangan dan topeng penutup mulut dan hidung telah mula terkumpul dalam sisa pepejal. Selain itu, jumlah pesakit Covid-19 telah meningkat secara mendadak sejak akhir Februari dan awal Mac lalu. Rentetan itu, sisa klinikal turut meningkat iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus pada bulan Mac berbanding 17 peratus pada bulan Februari.  Persoalannya, di mana dan bagaimana sisa organik dan sisa klinikal ini dilupuskan?

Produk pertanian adalah bahan organik, lazimnya mudah rosak dan busuk. Apabila busuk, ianya berair dan berbau. Air kuras (leachate) dan bau ini adalah kesan daripada tindakbalas proses biorosotan atau penguraian oleh mikrob dan ianya perlu diurus dengan baik. Tanpa pengurusan yang baik ia akan mengundang kepada masalah pencemaran alam sekitar.

PKP menjadikan aktiviti jualan produk pertanian terhad sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha produk pertanian. Untuk tidak menambah lagi kerugian,  pengusaha – pengusaha ini telah melonggokkan lambakan produk mereka di mana-mana kawasan yang agak tersorok. Lebih tepat lagi, menjalankan open  dumping iaitu satu aktiviti yang mana langkah-langkah pengawalan operasi dan melindungi alam sekitar tidak dilakukan. Open dumping akan merisikokan kesejahteraan alam sekitar terutamanya udara, tanah dan air.

Bau boleh  menjadi isu di mana open dumping dilakukan lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan produk pertanian. Bau turut  perpunca daripada air kuras (leachate). Kesan bau kepada individu adalah berbeza. Namun rasa mual, sakit kepala, mengantuk, masalah keletihan dan pernafasan sering menjadi rungutan oleh orang yang berada berhampiran dengan kawasan open dumping. Air kuras boleh bertambah apabila hujan. Air kuras mengandungi pencemar seperti pepejal terlarut dan pepejal terampai yang tinggi. Kandungan pepejal terlarut yang tinggi menjadikan air kuras agak berwarna. Semasa air kuras melalui sesuatu tanah, ia mencemar tanah tersebut. Sekiranya air kuras menyusup jauh ke dalam tanah dan bersatu dengan air bumi (groundwater), maka air bumi pula dicemar.

Selain itu, open dumping produk pertanian mendedahkan manusia kepada risiko peyakit . Ini kerana open dumping produk pertanian adalah lokasi sumber makanan untuk haiwan pembawa penyakit  seperti  tikus, serangga, burung dan mamalia liar yang lebih besar. Najis dan air kencing haiwan  ini  pula  mengandungi pathogenic microbial ( mikrob pembawa penyakit). Oleh itu sesiapa sahaja boleh terdedah kepada jangkitan penyakit apabila berada dalam kawasan open dumping lebih-lebih lagi apabila melibatkan sentuhan.

Mujurlah, open dumping sisa klinikal tidak dilakukan semasa PKP. Ini kerana sisa klinikal perlu dilupuskan menggunakan insinerator bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.  Menurut peraturan ini, semua sisa klinikal akan diasingkan di hospital atau klinik, kemudian dikutip oleh kontraktor khas, dihantar dengan kenderaan khas dan dilupuskan di fasiliti insinerator.

Namun begitu pada 2 April lalu, seorang wartawan telah menjumpai alat PPE seperti sarung tangan dan topeng penutup mulut dan hidung di  Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. Ini adalah satu yang munasabah kerana selepas PPE digunakan, orang awam akan mencampurkannya dengan sisa pepejal yang lain.  Disebabkan penggunaan PPE semasa tempoh PKP Pandemik Covid-19, maka operator yang terlibat di tapak pelupusan boleh terdedah kepada risiko jangkitan. Namun  kebimbangan operator ini dapat diredakan apabila syarikat pengendali  pengurusan sisa pepejal  mengambil inisiatif mengarahkan operator memakai PPE yang bersesuaian semasa mengendalikan sisa pepejal semasa PKP.

Kesimpulannya, kerugian luar jangka pengusaha produk pertanian dalam tempoh PKP adalah sesuatu yang dijangka dan kerugian mereka sewajarnya menerima simpati orang ramai. Sungguhpun begitu, tindakan mereka membuat open dumping amat dikesali. Pada mereka open dumping adalah penyelesaian pantas dengan kos minima, tapi dalam diam, tanpa disedari mereka telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti alam sekitar dan sebaran penyakit.

Sebaliknya, tindakan proaktif  syarikat pengurusan sisa pepejal yang mengutamakan keselamatan pekerja amatlah bertepatan dan wajar dihargai. Namun bagi orang awam, saranan syarikat pengurusan sampah boleh dilaksanakan iaitu PPE yang telah digunakan dinyahkumankan dengan sabun terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan sisa pepejal.  Untuk orang awam, saranan ini mudah. Sangat wajar diamalkan lebih-lebih lagi apabila PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini.

 

 

Oleh: Ts. Dr. Roslinda Seswoya

Pusat Penyelidik Pencemar Mikro, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

&

Ts. Dr. Rafidah Hamdan

Pusat Penyelidik Pencemar Mikro, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

*gambar ehsan google

 

Categories
covid-19Kejuruteraan Awam dan Alam SekitarLatest NewsRencana

RELATED ARTICLE