Peranan Geomatik dalam pemuliharaan  gajah

Geomatik adalah ilmu ukur yang berkait rapat dengan bidang sains pengukuran dan pengurusan maklumat spatial. Secara tradisinya didefinasikan sebagai satu seni pengukuran dalam menentukan kedudukan relatif titik-titik di atas...

Geomatik adalah ilmu ukur yang berkait rapat dengan bidang sains pengukuran dan pengurusan maklumat spatial. Secara tradisinya didefinasikan sebagai satu seni pengukuran dalam menentukan kedudukan relatif titik-titik di atas mahupun bawah permukaan bumi. Ia merangkumi ​pengukuran, perolehan, pemerolehan dan pemaparan ​data spatial ​fizikal Bumi dan alam bina​.

Berdasarkan keupayaan pendidikan doktor falsafah dalam bidang ini serta tiket sebagai penasihat Kelab Planeteers UTHM, Sr. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah telah dijemput sebagai penceramah bagi slot perkongsian ilmu projek Enhancement Integrity Program [EIP] bertemakan Integriti Asas Kelestarian Hidupan Liar (Gajah) pada 8 Mac lalu.

Projek ini dikendalikan oleh urusetia program latihan Pegawai Integriti Bertauliah (Ceritified integrity officer/CeIO) siri 24 yang melibatkan peserta seramai 110 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Hadir sama menyertai program tersebut, pegawai dari Jabatan Perhilitan Johor, Majlis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, FAMA Johor, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor, Jabatan Alam Sekitar Johor, Jabatan Kesihatan Johor, Akademi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor Bahru dan penduduk Kampung Lukut.

Projek ini diadakan di Kampung Lukut, daerah Kota Tinggi yang mana lokasinya terletak kira-kira 10 km dari Hutan Simpan Panti. Hutan simpan yang berkeluasan 120 hektar di bawah kawal selia Jabatan Perhutanan Negeri Johor ini merupakan tempat habitat pelbagai hidupan liar terutamanya gajah.

Dr. Nazirah dalam sesi ceramahnya memperkenalkan istilah geomatik kepada para peserta iaitu gabungan perkataan “Geo” dan “matik” yang masing-masingnya bermaksud permukaan bumi dan ukuran.

Menurut beliau, istilah geomatik ini dicipta oleh B.Dubuisson pada tahun 1969 yang diambil daripada kombinasi perkataan geodesi dan geoinformatik. Ia termasuk peralatan dan teknik yang digunakan dalam ukur tanah, sistem penderiaan jauh, kartografi, Sistem Maklumat Geografi (GIS),Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) dan fotogrammetri.

“Istilah geomatik ini adalah berkait rapat dengan perkembangan teknologi pengukuran masa kini yang mana istilah ini juga meliputi pengaplikasian teknologi-teknologi baru di dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

Dr. Nadzirah dalam ceramahnya juga turut berkongsi tayangan video penuh emosi berkaitan punca-punca dan kenapa gajah keluar dari habitatnya, disusuli dengan paparan grafik yang mudah untuk peserta memahami bagaimana geomatik berperanan terhadap pemuliharaan gajah.

Persoalan kenapa gajah lari dari habitatnya, kenapa gajah musnahkan atau rosakkan tanaman manusia dan bagaimana untuk memulihara gajah telah dirungkai satu-persatu dengan penggunaan teknologi Sistem Penentududukan Sejagat (GPS).

Jelas beliau, GPS adalah sistem navigasi satelit yang mencipta maklumat lokasi dan masa di semua kawasan dan keadaan iklim untuk penggunanya. Ia dibentuk dari buruj satelit 24 dan stesen darat mereka, sistem GPS terutamanya dibiayai dan keseluruhannya dikawal oleh Jabatan Pertahanan kerajaan AS.

GPS boleh digunakan untuk navigasi gajah kerana sistem ini memberikan manfaat serta menguntungkan kepada Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian dan orang awam. GPS menyediakan kedudukan gajah pada masa nyata, tiga dimensi (3D) dan navigasi dengan waktu di seluruh dunia.

Terang beliau lagi, GPS adalah salah satu kaedah untuk mendapatkan lokasi sebenar gajah kerana sistem pengesan ini disertai dengan peranti khas, sebagai contoh diletakkan di leher gajah sebagai unit tetap atau mudah alih.

“Ia berfungsi dengan menyediakan lokasi yang tepat untuk mengesan dan memantau pergerakkan dan habitat gajah.

“Daripada peranti yang sama juga Jabatan Perhutanan boleh mengenalpasti kawasan hutan yang diceroboh. Hal ini kerana pada dasarnya gajah tidak akan berkeliaran sekiranya habitatnya tidak diganggu.

“Sebagai contoh, bagi menjaga populasi gajah spesis Pigmy Borneo di Sabah, peranti yang dikenali sebagai kolar satelit telah dipasang pada 20 ekor gajah. Kolar satelit ini adalah untuk mengesan kedudukan haiwan berkenaan dan sebagai amaran awal sekiranya gajah tersebut dari hutan menghampiri kawasan ladang,” jelasnya.

Menurut Dr. Nadzirah lagi, pemantauan pergerakan gajah ilmu geomatik juga mampu menganalisa dan menyimpan data spatial melalui Sistem Maklumat Geografi (GIS). Ia merupakan satu bidang sistem maklumat yang mengintegrasikan data ruang (peta digital) dan data atribut untuk melakukan analisis tertentu menggunakan perisian GIS. Pemetaan kedudukan dan pemuliharaan habitat gajah boleh dilakukan dengan mengintegrasikan data GPS ke GIS.

Menariknya perkongsian ini mendapat maklum balas yang positif daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Perhilitan, Perhutanan, Alam sekitar, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) malah juga penduduk Kampong Lukut.

Jelas beliau, oleh kerana ramai peserta tidak tahu tentang geomatik, beliau memasang hasrat untuk terus berkongsi dengan lebih mendalam lagi tentang apa yang bidang ini boleh membantu dalam kehidupan sejagat pada masa akan datang.

“Bagi membantu pemuliharaan gajah khasnya di Kampung Lukut, perbincangan susulan akan direncanakan di antara pihak UTHM, agensi dan Ketua Kampung Lukut,” katanya.

 

Sr. Dr. Nazirah Binti Mohamad Abdullah

Fakulti Kejuruteraan Awam Dan Alam Bina

Penasihat Planeteers, UTHM

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar

RELATED ARTICLE