Setiap kali hadirnya Zulhijah, umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh penghayatan. Laungan talbiah bergema di bumi Mekah, jutaan jemaah berpakaian ihram memenuhi tanah suci, manakala umat Islam di seluruh dunia membuat persiapan menyambut Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban. Dalam suasana ini, umat Islam tidak hanya meraikan perayaan, tetapi memasuki sebuah medan tarbiah yang membentuk kepimpinan diri.

Di sebalik syiar tahunan ini, Zulhijah membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar ibadah. Ia adalah latihan rohani yang mendidik manusia tentang erti pengorbanan, ketaatan, kesabaran dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT. Di mana akhirnya manusia akan faham dan mengakui bahawa tiada pergantungan yang lebih hebat dari bergantung sepenuhnya kepada satu-satunya Sang Pencipta. Lebih penting latihan di bulan ini mampu membina keupayaan insan untuk memimpin dirinya sendiri dalam berdepan tekanan kehidupan dan godaan dunia.

Di Masjidil Haram, tawaf mengelilingi Kaabah memperlihatkan jutaan manusia bergerak dalam satu orbit yang sama, tanpa mengira pangkat, harta atau kedudukan. Dalam disiplin ibadah ini, manusia belajar bahawa kepimpinan diri bermula apabila ego ditundukkan kepada perintah Allah. Dalam kepadatan, kepanasan dan kesesakan, kesabaran serta kawalan emosi menjadi ujian sebenar kepada jiwa. Seringkali kita terfikir mampukah semua manusia bersabar berhadapan dengan situasi ini. Namun, kerap juga sang hamba ini terlupa bahawa Allah itu maha berkuasa atas segala sesuatu dan tidak akan pernah menyakiti hambaNya.

Saie antara Safa dan Marwah pula mengangkat makna usaha dan ketabahan melalui kisah Siti Hajar yang berulang-alik mencari air untuk Nabi Ismail AS. Ia menjadi simbol bahawa kepimpinan diri tidak lahir daripada pasrah tanpa usaha, tetapi daripada usaha yang konsisten walaupun dalam keadaan tidak pasti. Begitu juga halnya dengan seorang Muslim yang dituntut untuk terus melangkah dan tidak berputus asa serta perlu sentiasa yakin bahawa Allah tidak mensia-siakan usaha hamba-Nya. Apatah lagi jika dilihat terlalu ramai para pemberi infak makanan kepada jemaah haji tanpa mengira latar belakang. Situasi ini juga jelas menunjukkan bahawa Allah sudah pasti menjamin rezeki untuk hamba-hambaNya.

Kemuncak Zulhijah yang dinanti-nantikan oleh umat Islam ialah detik wukuf di Arafah. Di padang yang luas tanpa sempadan itu, jutaan manusia berhimpun dalam keadaan yang sama, tanpa perbezaan darjat, warna kulit atau status sosial. Saat itu, manusia berada dalam keadaan sangat jujur di hadapan Allah, mengakui kelemahan dan memohon keampunan-Nya. Diriwayatkan juga bahawa di sinilah Nabi Adam AS dan Hawa dipertemukan semula selepas sekian lama terpisah dan menjadikannya simbol pengampunan serta kembali kepada fitrah manusia. Pada detik ini, hakikat kepimpinan diri terserlah apabila manusia sedar bahawa dirinya tidak memiliki apa-apa selain mengharapkan pengampunan dan rahmat Allah. Sebagai pemimpin, sikap mengakui kesilapan bukan menunjukkan kelemahan malah ia menjadi satu simbol bahawa pemimpin berani bertanggungjawab terhadap apa yang teah dilakukan.

Bermalam di Muzdalifah pula mengajar erti reda dan penerimaan dalam kesederhanaan. Dalam keadaan berhimpun di bawah langit terbuka di padang luas terbentang, manusia diajar bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan dan kehendak diri. Ujian seperti menunggu bas dalam tempoh yang lama mengingatkan bahawa kepimpinan diri juga bermaksud perlu kekal tenang dalam keterbatasan, tanpa keluh kesah dan tanpa hilang arah.

Di Mina, ibadah melontar jamrah menjadi simbol penolakan terhadap gangguan dalaman manusia. Ia bukan sekadar ritual fizikal, tetapi latihan rohani untuk melawan sifat marah, tamak, ego dan sombong. Hakikatnya, musuh paling besar manusia ialah dirinya sendiri, justeru disiplin mengawal diri menjadi teras utama kepimpinan insan.

Jelas bahawa setiap pergerakan dalam ibadah haji sarat dengan dimensi sejarah yang berkait rapat dengan perjuangan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya. Ia menegaskan bahawa kepimpinan sebenar tidak dibina atas kuasa atau kedudukan, tetapi atas ketaatan mutlak kepada Allah, walaupun bertentangan dengan kehendak akal dan perasaan.

Ibadah korban yang menjadi kemuncak Aidiladha pula membawa mesej yang sama iaitu bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi simbol pengorbanan tertinggi seorang hamba dalam mendahulukan perintah Allah melebihi segala kecintaan dunia. Ujian Nabi Ibrahim AS menjadi bukti bahawa kepimpinan diri tercapai apabila ketaatan mengatasi segala keterikatan duniawi.

Dalam kehidupan masa kini, bentuk pengorbanan itu mungkin berbeza, namun prinsipnya tetap sama. Kemampuan mengawal ego, meninggalkan kebiasaan yang melalaikan, menahan marah, membuat keputusan yang benar walaupun tidak popular dan berpegang teguh kepada prinsip adalah aspek kepimpinan diri yang perlu diamalkan.

Namun, cabaran besar yang dihadapi adalah untuk kekal istiqamah selepas musim ibadah berakhir. Pengalaman rohani yang tinggi sering berdepan dengan realiti kehidupan harian yang lebih mencabar dan kompleks. Di sinilah manusia diuji untuk kekal memimpin dirinya sendiri walaupun suasana berubah. Istiqamah bukan kekuatan sementara, tetapi disiplin berterusan dalam mengekalkan nilai dan amalan yang telah difahami. Ia merupakan tahap tertinggi kepimpinan diri apabila seseorang mampu kekal teguh pada prinsip dalam apa jua keadaan.

Hakikatnya, Zulhijah bukan sekadar musim ibadah tahunan, tetapi sebuah sistem pendidikan jiwa yang membentuk manusia agar mampu memimpin diri sendiri. Ia mengajar bahawa kepimpinan sebenar bukan pada menguasai orang lain, tetapi pada kemampuan mengawal nafsu, mendisiplinkan diri dan tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT. Dalam pengertian ini, seluruh ibadah dalam bulan Zulhijah menjadi satu latihan menyeluruh untuk melahirkan insan yang lebih sedar, berdisiplin, tawaduk dan hampir kepada Tuhannya. Mudah-mudahan nilai dan penghayatan ini terus hidup melangkaui musim ibadah, sebagai azam yang berpanjangan menjelang tahun baharu Islam, Muharram.

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)