Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah proaktif dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara menerusi pelaksanaan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) di peringkat universiti.
Inisiatif itu susulan termeterainya Surat Hasrat (LoI) antara UTHM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2025 lalu.
Bagi meneruskan komitmen, program MELP kini telah diintegrasikan ke dalam kurikulum akademik UTHM sebagai kursus elektif terapung yang dimulakan secara rintis bagi program akademik di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).
Langkah strategik itu bertujuan meningkatkan literasi dan kesedaran tenaga dalam kalangan mahasiswa, sekali gus mendepani sasaran negara untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu serta pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Bagi memastikan kandungan program sentiasa relevan, satu bengkel pemurnian modul literasi tenaga telah dilaksanakan pada 14 hingga 15 Mei 2026 lalu di Kuala Lumpur anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Bengkel tersebut memfokuskan kepada penambahbaikan modul serta perkongsian perkembangan teknologi terkini dalam sektor tenaga.
UTHM diwakili oleh dua ahli akademiknya iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah dan Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Fairouz Mohd Yousof.
Program MELP yang diterajui oleh TNB itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik industri dan kerajaan, termasuk termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia, MyPOWER Corporation, Yayasan Hijau Malaysia, Nur Power, CGN EDRA dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Selain UTHM, sinergi ini turut dijayakan oleh beberapa universiti lain termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Pelaksanaan program MELP secara holistik di peringkat pendidikan tinggi itu dijangka mampu melahirkan graduan yang berpengetahuan luas dan kompeten dalam bidang tenaga, sekali gus memastikan mereka kekal relevan dalam memacu masa depan lestari negara.
