Sumber: Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar

Sebanyak 327 spesies ikan laga mikroendemik Betta Persephone yang hanya ditemui secara semula jadi di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, Muar Johor, berjaya dilepaskan semula ke habitat asalnya menerusi usaha konservasi yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Beliau bersama pasukan SEA LIFE Legoland Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor mencipta sejarah tersendiri apabila aktiviti pelepasan Betta Persephone itu menjadi program terbesar pernah direkodkan di dunia, sekali gus menjadi simbol penting kejayaan konservasi spesies hampir pupus yang hanya wujud di hutan paya gambut Johor.

Spesies yang dikategorikan sebagai ‘sangat terancam’ itu merupakan antara khazanah biodiversiti paling unik di Malaysia kerana habitat semula jadinya hanya tertumpu di kawasan paya gambut hitam sekitar Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.

Namun, ekosistem sensitif itu semakin terancam akibat perubahan lanskap, kebakaran hutan serta tekanan pembangunan di kawasan sekitarnya.

Keadaan tersebut menjadikan usaha konservasi Betta persephone amat kritikal bagi memastikan spesies mikroendemik itu tidak pupus daripada habitat asalnya.

Usaha konservasi Betta persephone sebenarnya telah dimulakan seawal tahun 2016 melalui kerjasama antara UTHM, Kim Ichthyologist Centre, Pejabat Daerah Muar, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan menerusi pelbagai aktiviti dokumentasi biodiversiti, pemantauan habitat dan kesedaran komuniti di kawasan Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.

Usaha itu kemudiannya diperkukuhkan apabila SEA LIFE Malaysia menyertai kolaborasi tersebut dengan sokongan dana antarabangsa daripada SEA LIFE TRUST bagi melaksanakan program pembiakan konservasi ex-situ di Sealife Legoland Malaysia, Iskandar Puteri sebelum spesies itu berjaya dilepaskan semula ke habitat asal.

Menurut Dr. Abdul Latiff kejayaan pelepasan semula itu bukan sekadar mencatat rekod dunia, malah menjadi simbol bahawa spesies kecil yang hampir hilang dari habitat asal masih mampu diselamatkan melalui gabungan penyelidikan saintifik, sokongan agensi kerajaan, penglibatan komuniti dan kerjasama industri dan antarabangsa.

“Inisiatif ini turut membuktikan bahawa usaha konservasi tempatan yang digerakkan secara berterusan mampu meletakkan Malaysia sebagai antara contoh penting pemuliharaan spesies terancam di peringkat global,” katanya.

Turut diberi perhatian, pemeliharaan ekosistem paya gambut di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara yang menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies flora dan fauna sensitif.

Bagi memperkukuhkan agenda konservasi kawasan tersebut, UTHM dan Jabatan Perhutanan

Negeri Johor telah menubuhkan Makmal Alami Ayer Hitam Utara (Living Lab Ayer Hitam Utara) sejak tahun 2022 sebagai platform penyelidikan, konservasi biodiversiti dan penglibatan komuniti secara bersepadu.

“Kawasan ini merupakan antara baki hutan paya gambut terakhir di selatan Semenanjung Malaysia dan memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air, penyimpanan karbon semula jadi serta habitat kepada biodiversiti unik yang tidak ditemui di tempat lain,” jelas Dr. Abdul Latiff.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Mohd Syahrir Azrin Salleh yang hadir pada sesi pelepasan bersejarah itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha konservasi tersebut dan melihat inisiatif berkenaan sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan pemuliharaan biodiversiti serta habitat paya gambut di negeri Johor.

“Kejayaan ini diharapkan akan membuka lembaran baharu dalam usaha konservasi biodiversiti negara, khususnya bagi spesies-spesies kecil dan mikroendemik yang sering terlepas daripada perhatian umum.

“Masa depan biodiversiti Malaysia tidak hanya bergantung kepada perlindungan spesies tertentu, tetapi juga kepada keupayaan semua pihak dalam memelihara habitat semula jadi yang semakin terancam demi memastikan keseimbangan ekosistem negara terus terpelihara,” katanya.

Ikan Pelaga Betta persephone merupakan ikan paya gambut mikroendemik yang bertaburan di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara. Kredit Foto: Mohd Ilham Norhakim Lokman
Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara merupakan antara hutan paya gambut terakhir di Negeri Johor. Kredit Foto: Mohd Ilham Norhakim Lokman

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 19 Mei 2026: UTHM–SEA LIFE berjaya biak, lepas ikan pelaga hampir pupus terbesar dunia

https://malaysiagazette.com/2026/05/19/uthm-sea-life-berjaya-biak-lepas-ikan-pelaga-hampir-pupus-terbesar-dunia/

 

2. Sin Chew Daily (Johor) (page: 9), 19 Mei 2026: 森大敦胡先翁大學與柔林学野放327瀬

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 28), 20 Mei 2026: Ikan laga ‘sangat terancam’ dilepas ke habitat asal

 

4. China Press (Johor) (page: C3), 20 Mei 2026: 敦胡先翁大学联同3组织 放生327帕斯風斗鱼

 

5. Johor China Press (johor.chinapress.com.my), 20 Mei 2026: 敦胡先翁大学联同3组织 放生327帕斯風斗鱼

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia collaborates with three organisations to release 327 Parsik Fighting Fish