Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat susulan perang di Iran, telah mengubah landskap pasaran tenaga dunia dengan ketara. Kesan paling nyata bukan hanya dirasai di medan konflik, tetapi meresap ke negara-negara pengimport tenaga apabila harga minyak global menjadi semakin tidak menentu. Kesan segera konflik ini dirasai melalui pasaran tenaga dunia, khususnya harga minyak dan bahan api, yang akhirnya memberi tekanan langsung kepada ekonomi serta kehidupan seharian rakyat di seluruh dunia. Kesan konflik ini paling ketara dirasai oleh negara yang bergantung kepada import tenaga, apabila harga minyak dan gas tiba-tiba melonjak. Perang sering kali menjadi pencetus ketidaktentuan yang sukar dikawal apabila berada dalam keadaan harga minyak global yang mudah dipengaruhi spekulasi dan jangkaan risiko. Harga minyak tidak meningkat semata-mata kerana bekalan fizikal terjejas, tetapi kerana pasaran bertindak balas terhadap kemungkinan gangguan pada bila-bila masa. Ketidaktentuan inilah yang menjadikan kos tenaga tidak menentu dan sukar diramal, sekali gus memberi cabaran kepada negara yang masih bergantung kepada import produk petroleum tertentu.

Malaysia berada dalam kedudukan yang memerlukan pengurusan dasar yang berhati-hati. Sebagai negara yang terlibat secara aktif dalam perdagangan minyak dan gas antarabangsa, harga bahan api domestik kekal terdedah kepada turun naik pasaran global dan struktur rantaian bekalan tenaga. Bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara mendadak, subsidi bahan api perlu terus berperanan sebagai instrumen penting dalam menstabilkan kos hidup rakyat dan aktiviti ekonomi. Dalam senario ini, subsidi bahan api berfungsi sebagai benteng perlindungan sosial. Tujuannya jelas, iaitu melindungi rakyat daripada kejutan harga yang berpunca daripada faktor luaran di luar kawalan langsung negara. Namun pelaksanaan subsidi dalam dunia yang semakin bergolak menuntut pengimbangan yang teliti antara keperluan melindungi rakyat dan keupayaan fiskal negara untuk menampung beban tersebut dalam jangka panjang. Setiap kenaikan harga minyak dunia bermakna peningkatan kos sebenar yang perlu ditanggung kerajaan bagi memastikan harga runcit kekal stabil. Situasi ini bukan sekadar isu perakaunan, tetapi mencerminkan pilihan dasar yang mempunyai implikasi luas. Peruntukan besar untuk subsidi bahan api bererti ruang fiskal untuk sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial perlu diurus dengan lebih bijaksana agar keperluan asas rakyat kekal terjamin.

Pada masa yang sama, kebergantungan berpanjangan terhadap subsidi berskala besar turut membawa cabaran tersendiri. Apabila harga bahan api dilindungi sepenuhnya, insentif untuk menjimatkan penggunaan tenaga dan beralih kepada alternatif yang lebih cekap menjadi terhad. Konflik seperti perang di Iran sewajarnya menjadi peringatan bahawa keselamatan tenaga negara tidak boleh bergantung kepada subsidi semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh dan berperingkat. Namun sebarang usaha pembaharuan dasar tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan realiti rakyat. Rasionalisasi subsidi tanpa sistem sokongan yang kukuh berisiko memindahkan tekanan global terus ke bahu golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi peniaga kecil, pekerja harian dan keluarga yang bergantung kepada kenderaan untuk kelangsungan hidup, kenaikan harga bahan api bermaksud peningkatan kos harian yang menjejaskan kesejahteraan asas.

Dalam konteks inilah, perubahan mekanisme subsidi bahan api mula dirasai secara langsung oleh rakyat. Pelaksanaan had subsidi RON95 sebanyak 200 liter sebulan bermula April 2026 turut mendedahkan cabaran baharu dalam pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar. Walaupun pendekatan ini bertujuan mengawal beban fiskal dan mengelakkan pembaziran, realitinya tidak semua pengguna berada dalam keadaan mobiliti yang sama. Bagi pekerja yang perlu berulang-alik jarak jauh setiap hari atas keperluan kerja, had ini cepat dicapai sebelum akhir bulan, sekali gus meningkatkan perbelanjaan bulanan mereka. Keadaan ini menjadikan isu subsidi bukan sekadar soal harga di pam, tetapi soal keupayaan rakyat menampung kos mobiliti dalam struktur pekerjaan dan perumahan yang sedia ada.

Kesannya senario itu telah mendorong tindak balas rakyat terhadap tekanan kos sara hidup dengan bertingkah laku menggunakan kad pengenalan ahli keluarga semasa membeli minyak kenderaan untuk menampung keperluan liter bersubsidi apabila had bulanan telah dicapai. Walaupun kerajaan telah mengeluarkan peringatan bahawa amalan sedemikian menyalahi peraturan dan boleh dikenakan tindakan, fenomena ini wajar difahami sebagai isyarat tekanan ekonomi, khususnya dalam kalangan pengguna yang tiada alternatif mobiliti lain. Keadaan ini menunjukkan bahawa cabaran subsidi bahan api bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi berkait rapat dengan struktur pekerjaan, jarak perjalanan dan keperluan harian rakyat yang tidak seragam.

Lebih daripada itu, ketidaktentuan dasar juga memberi kesan kepada keyakinan masyarakat. Apabila rakyat tidak pasti sama ada subsidi akan dikekalkan, disasarkan atau dikurangkan, keresahan awam mudah tercetus. Dalam situasi tekanan ekonomi yang berpanjangan, ketidakjelasan dasar boleh menghakis kepercayaan terhadap sistem sokongan negara dan menimbulkan rasa tidak adil yang sukar dipulihkan dalam jangka masa pendek.

Selain perbezaan tahap pendapatan, kesan perubahan subsidi bahan api juga berbeza mengikut lokasi dan corak kehidupan rakyat. Penduduk luar bandar, pinggir bandar dan kawasan perindustrian lazimnya lebih bergantung pada penggunaan kenderaan persendirian kerana keterbatasan pengangkutan awam dan jarak perjalanan yang lebih jauh. Dalam keadaan ini, sebarang pengurangan subsidi liter setiap bulan boleh memberi kesan yang lebih berat berbanding pengguna di kawasan bandar besar yang mempunyai lebih banyak alternatif mobiliti. Jurang ini mencerminkan keperluan dasar subsidi mengambil kira realiti wilayah dan akses, supaya usaha melindungi rakyat tidak terhad kepada pendekatan seragam yang mengabaikan ketidaksamaan struktur dalam kehidupan seharian.

Perang di Iran turut mendedahkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pelan keselamatan tenaga jangka panjang negara. Kepelbagaian sumber tenaga, pembinaan rizab strategik dan pelaburan ke arah tenaga alternatif bukan lagi retorik dasar, tetapi keperluan strategik. Tanpa langkah ini, setiap konflik di rantau pengeluar minyak akan berulang kali memberi kesan besar terhadap kestabilan fiskal dan sosial negara. Dasar negara tidak boleh kekal bersifat reaktif semata-mata dalam menghadapi realiti global yang semakin tidak menentu. Pengurusan subsidi bahan api memerlukan keberanian untuk melaksanakan pembaharuan secara berperingkat, berpandukan data dan turut perlu berteraskan empati sosial. Pendekatan seperti subsidi bersasar, pengukuhan pengangkutan awam, literasi tenaga rakyat serta pemanfaatan kaedah Bekerja Dari Rumah sektor awam dan swasta, serta fungsi bersesuaian perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang.

Kesimpulannya, subsidi bahan api di tengah api perang global mencerminkan dilema sebenar dasar negara antara keperluan melindungi rakyat dan penyesuaian dengan realiti ekonomi dunia. Hakikatnya, melindungi rakyat seharusnya tidaklah terus mengekalkan semua dasar sedia ada, tetapi perlu untuk menyesuaikannya agar sistem sokongan yang dibina benar-benar melindungi kehidupan asas rakyat. Perancangan dasar yang berpandangan jauh dan seimbang adalah keperluan mendesak demi kesejahteraan rakyat kini dan generasi akan datang, bilamana berada dalam dunia yang sarat dengan percikan konflik antarabangsa mampu memberikan kesan pada turun naik harga minyak di stesen pam seluruh negara.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Siti Sarawati Johar

Jabatan Sains Sosial,

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 13 April 2026: Subsidi di tengah api perang, lindungi rakyat dalam realiti global 

https://malaysiagazette.com/2026/04/13/subsidi-di-tengah-api-perang-lindungi-rakyat-dalam-realiti-global/

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 13), 17 April 2026: Subsidi bukan penyelesaian mutlak, kerajaan perlu pelan baharu 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 17 April 2026: Subsidi bukan penyelesaian mutlak, kerajaan perlu pelan baharu

https://www.utusan.com.my/rencana/2026/04/subsidi-bukan-penyelesaian-mutlak-kerajaan-perlu-pelan-baharu/