Malaysia kini berdepan cabaran iklim yang semakin kompleks. Data Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menunjukkan purata suhu harian sekitar 30.7°C hingga 31°C pada Februari, dengan anomali suhu +0.8°C lebih tinggi berbanding purata sejarah. Walaupun hujan masih turun dengan purata 153.6 mm sebulan, taburannya tidak sekata. Fenomena El Niño yang berlaku turut memburukkan lagi keadaan dengan membawa cuaca panas dan kering ke beberapa negeri. Situasi ini menimbulkan implikasi besar terhadap bekalan air negara, khususnya ketika bulan Ramadan apabila permintaan air meningkat.
Trend suhu dan taburan hujan
Analisis data MET menunjukkan wujudnya variasi suhu dan hujan antara lokasi di Malaysia. Contohnya pada Februari lalu, Kuala Lumpur mencatatkan suhu purata harian tertinggi berbanding lokasi lain, manakala Sandakan menerima hujan lebih banyak berbanding Kuah (Langkawi) yang lebih kering.
Analisis kritikal menunjukkan bahawa peningkatan suhu bukan sahaja meningkatkan kadar penyejatan air di permukaan empangan, malah mempercepatkan kehilangan kelembapan tanah. Taburan hujan yang tidak sekata pula menimbulkan ketidakseimbangan bekalan air antara negeri, dengan sesetengah kawasan mengalami lebihan hujan manakala kawasan lain berdepan defisit.
Paras air empangan utama mula menyusut
Tinjauan terhadap paras air di beberapa empangan utama negara menunjukkan pola yang membimbangkan. Sebagai contoh, data daripada NADMA, SPAN 2026, menunjukkan bahawa walaupun paras air di empangan Melaka masih berada pada tahap selamat, negeri lain seperti Johor, Kedah dan Perak mencatatkan paras air yang kritikal menuntut tindakan segera perlu dilakukan.
Analisis juga menunjukkan bahawa negeri-negeri yang bergantung kepada empangan kecil atau sederhana lebih terdedah kepada krisis bekalan air. Johor, misalnya, memerlukan intervensi segera melalui pembenihan awan. Manakala Perak pula berdepan risiko besar kerana paras Empangan Bukit Merah jatuh ke tahap kritikal.
Krisis bekalan air
Di Melaka, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa bekalan air sepanjang Ramadan lalu terkawal kerana paras empangan masih berada pada tahap selamat. Namun, Johor berdepan krisis apabila paras empangan menurun dengan ketara. Kedah dan Perak pula menunjukkan tanda-tanda amaran dan kritikal, yang boleh menjejaskan bukan sahaja bekalan domestik tetapi juga sektor pertanian.
Krisis ini menuntut analisis lebih mendalam dilakukan. Peningkatan suhu dan taburan hujan tidak menentu bukan sekadar fenomena sementara, tetapi sebahagian daripada pola iklim global yang semakin ekstrem. Jika tidak ditangani secara sistematik, Malaysia berisiko menghadapi krisis air berulang yang lebih parah.
Hubungan suhu, cuaca dan bekalan air
Hubungan antara suhu, cuaca dan bekalan air adalah bersifat langsung dan kompleks. Suhu tinggi meningkatkan kadar penyejatan air di empangan dan sungai, manakala hujan yang tidak menentu menimbulkan ketidakseimbangan bekalan. Semasa bulan Ramadan, permintaan air meningkat kerana aktiviti harian, ibadah dan persediaan makanan. Krisis air di Johor dan Perak menjadi bukti bahawa pengurusan sumber air perlu lebih proaktif, bersepadu dan berasaskan data saintifik.
Malaysia sedang berhadapan dengan trend pemanasan suhu dan taburan hujan tidak menentu di beberapa negeri. Walaupun negeri seperti Melaka masih terkawal, namun negeri lain seperti Johor, Kedah dan Perak menunjukkan tanda-tanda krisis bekalan air. Masyarakat perlu mendapat informasi berkenaan bekalan air daripada website atau makumat yang tepat dari MET dan syarikat bekalan air negeri sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang kemugkinan krisis bekalan air yang lebih kritikal. Selain daripada mengamalkan gaya hidup yang baik iaitu “penjimatan penggunaan air,” masyarakat juga perlu mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak pendedahan secara langsung kepada suhu yang tinggi.
Langkah mitigasi saintifik seperti pembenihan awan, pengurusan sumber air bersepadu dan kempen kesedaran pengguna perlu dilaksanakan segera. Dengan data suhu MET dan paras empangan yang semakin menurun, jelas bahawa isu ini bukan sekadar cabaran sementara, tetapi satu realiti iklim yang perlu ditangani secara sistematik dan berterusan. Jika pengurusan yang holistik tidak dijalankan secara menyeluruh, hasil analisis yang dijalankan jelas menunjukkan bahawa tanpa intervensi bersepadu, Malaysia berisiko berhadapan dengan krisis bekalan air yang lebih serius pada masa hadapan.

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii
Penyelidik Utama, Pusat Pembangunan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar
Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Pembinaan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
