Oleh Hidayat Zain, Syahir Anwar
TAPAH – Sekretariat Mahasiswa Anak Perak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (SEMARAK UTHM) dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Parlimen Gopeng mengambil inisiatif menyantuni Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Piatu Darul Aitam di Temoh serta mengedarkan pek makanan sahur kepada golongan gelandangan dan wira barisan hadapan di Ipoh, Perak.
Program ‘SEMARAK Cakna: Bina Ukhuwah, Kongsi Kasih’ yang diadakan pada 9 Mac lalu itu melibatkan penyertaan 48 peserta bagi menyantuni anak-anak yatim dengan menjalankan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang bertujuan memupuk nilai kerjasama, diikuti dengan sesi riadah pada waktu petang.
Program tersebut turut diisi dengan majlis berbuka puasa dan solat tarawih secara berjemaah bersama anak-anak yatim bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara peserta dan penghuni rumah kebajikan.
Sementara itu, ADUN Ayer Kuning, YB Dr. Mohamad Yusri Bakir turut hadir menyempurnakan program tersebut.
Beliau dalam ucapannya sempat berpesan kepada generasi muda agar sentiasa bersedia dengan pelbagai ilmu bagi menghadapi cabaran dunia masa kini serta mengambil ibrah bulan Ramadan untuk menguatkan jati diri.
“Jika nilai yang dipelajari sepanjang Ramadan seperti kejujuran, kesederhanaan dan empati terus diamalkan, ia mampu melahirkan generasi muda yang berintegriti dan berakhlak tinggi,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni anak-anak yatim terlibat serta turut melawat kawasan sekitar bagi melihat sendiri keadaan dan kemudahan yang disediakan.
Pada sebelah malam pula, para peserta meneruskan aktiviti kebajikan dengan menyantuni golongan gelandangan serta wira barisan hadapan seperti anggota polis dan bomba melalui pengedaran 50 pek makanan sahur.
Edaran pek makanan sahur itu bukan sahaja bertujuan membantu mereka yang memerlukan, malah menjadi tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat walaupun pada waktu malam.
Program sebegitu secara tidak langsung dapat memupuk nilai keprihatinan dan keinsafan dalam diri para peserta di samping melahirkan rasa syukur terhadap nikmat dan rezeki yang dimiliki.
Penganjuran program sebegitu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan, selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti.






