Setiap kali Ramadan menghampiri, ia hadir sebagai tetamu agung yang membawa rahmat, keampunan dan peluang perubahan diri. Persoalan besar yang patut direnungi oleh setiap Muslim ialah: adakah ini Ramadan terakhir buat kita? Tiada siapa mengetahui baki umur yang tersisa. Justeru, menyambut Ramadan bukan sekadar menunggu suasana, tetapi perlu disertai persediaan menyeluruh rohani, jasmani dan fizikal  serta disusun dengan perancangan amalan yang jelas agar setiap detik dimanfaatkan dengan penuh kesedaran dan kesungguhan.

Dalam tuntutan Islam, Ramadan adalah madrasah tarbiah yang membentuk takwa. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)

Kewajipan berpuasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mendidik jiwa agar patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Jika inilah Ramadan terakhir, maka inilah peluang terakhir untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, melangsaikan kelompongan ibadah, serta memohon keampunan dengan sebenar-benar penyesalan.

Perancangan amalan utama sepanjang Ramadan

1) Memperbanyakkan bacaan al-Quran

Ramadan adalah bulan al-Quran. Allah SWT berfirman:

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.”
(Surah al-Baqarah: 185)

Nabi SAW juga memperbanyakkan tilawah pada bulan ini. Dalam hadis sahih disebut:

“Jibril bertemu Nabi SAW setiap malam di bulan Ramadan lalu bertadarus al-Quran bersama Baginda.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Amalan para salaf dalam mendekati al-Quran pada bulan Ramadan sangat luar biasa dan menjadi contoh kesungguhan dalam ibadah. Antaranya, Imam al-Bukhari dikatakan mengkhatamkan al-Quran setiap hari pada siang Ramadan dan setiap tiga malam pada waktu malam, manakala Imam al-Syafi‘i pula diriwayatkan mengkhatamkan al-Quran sekitar 60 kali sepanjang Ramadan. Keadaan ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan membaca al-Quran secara rutin, tetapi merupakan bulan untuk benar-benar hidup bersama al-Quran dengan memperbanyak bacaan, berusaha memahami makna, serta mentadabbur kandungannya agar memberi kesan kepada iman dan amalan.

2) Hakikat puasa: Menahan dosa, bukan sekadar lapar

Puasa bukan hanya menahan makan dan minum, tetapi puasa seluruh anggota daripada maksiat. Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.”
(Riwayat al-Bukhari)

Puasa yang sebenar bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi melibatkan seluruh anggota dan hati. Lidah turut berpuasa dengan menjauhi umpatan dan kata-kata buruk, mata berpuasa daripada melihat perkara yang haram, telinga berpuasa daripada mendengar perkara sia-sia dan melalaikan, manakala hati pula berpuasa daripada sifat hasad, dendam dan kebencian. Inilah hakikat puasa yang membentuk takwa iaitu latihan menyeluruh yang membersihkan zahir dan batin serta bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata.

3) Iktikaf: Mengosongkan hati dari dunia

Iktikaf bukan sekadar duduk di masjid, tetapi usaha mengosongkan hati, jiwa dan akal daripada urusan dunia buat sementara waktu.

Nabi SAW bersabda:

“Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadan sehingga Baginda wafat.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tujuan sebenar iktikaf ialah untuk memutuskan diri daripada kesibukan dan gangguan urusan dunia supaya hati dapat ditumpukan sepenuhnya kepada Allah. Dalam keadaan ini, seseorang memperbanyakkan zikir, doa dan tilawah al-Quran sebagai proses membersihkan jiwa serta menenangkan rohani. Iktikaf menjadi satu bentuk latihan spiritual yang mendidik disiplin hati, menghidupkan jiwa, dan membina hubungan yang lebih dekat serta lebih sedar dengan Allah, bukan sekadar berada di masjid tetapi menghadirkan hati secara penuh dalam ibadah.

4) Sedekah dan menyantuni golongan lemah

Ramadan juga bulan kebajikan. Nabi SAW adalah manusia paling pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi dalam Ramadan.

Ibnu Abbas RA berkata:

“Rasulullah SAW adalah manusia paling pemurah, dan Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadan.”
(Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah merangkumi pelbagai bentuk kebaikan seperti memberi makan kepada fakir miskin, membantu keluarga yang susah, serta menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan mengikut kemampuan. Sedekah bukan sekadar pemberian harta semata-mata, tetapi merupakan proses tarbiah jiwa yang mendidik sifat pemurah, belas ihsan dan tanggungjawab sosial. Melaluinya, hati dibersihkan daripada sifat bakhil dan keterikatan melampau kepada dunia, lalu membina kepekaan serta kasih sayang terhadap sesama manusia.

5) Qiyamullail: Pakaian orang soleh

Bangun malam adalah amalan orang soleh dan jalan mengejar Lailatul Qadar.

Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang bangun malam pada bulan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Qiyamullail ialah pakaian para solihin, iaitu amalan malam yang menjadi sumber kekuatan rohani dan ketenangan jiwa. Melaluinya, hati dihidupkan dengan munajat, doa dan ibadah dalam suasana sunyi serta penuh keikhlasan. Qiyamullail juga mendekatkan diri kepada Allah kerana ia dilakukan ketika kebanyakan manusia sedang lena, menzahirkan kesungguhan dan kecintaan seorang hamba kepada Tuhannya. Di samping itu, amalan ini menjadi jalan untuk memburu malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan, sekali gus menjadikannya antara ibadah paling bernilai dalam kehidupan seorang mukmin. 

6) Memberi makan orang berbuka

Antara amalan yang sangat dituntut ialah memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahala orang tersebut sedikit pun.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Ini termasuk amalan berkongsi rezeki yang sangat digalakkan, khususnya pada bulan Ramadan, seperti menyediakan juadah berbuka puasa, menaja makanan di masjid, serta berkongsi hidangan dengan jiran dan sahabat. Perbuatan ini bukan sahaja meringankan beban orang lain, bahkan mengeratkan hubungan silaturahim dan menumbuhkan rasa syukur atas nikmat yang dimiliki. Amalan memberi makan dan berkongsi rezeki juga mendidik jiwa supaya lebih pemurah, prihatin dan peka terhadap keperluan masyarakat sekeliling.

Ramadan: Madrasah membentuk takwa

Melangkah ke Ramadan memerlukan persiapan rohani yang terancang dan bersungguh-sungguh. Niat perlu diperbaharui, sasaran ibadah ditetapkan, dan hati dibersihkan melalui taubat serta saling bermaafan sesama manusia. Persediaan juga melibatkan aspek fizikal, termasuk pengurusan pemakanan dan kesihatan, agar tubuh berada dalam keadaan baik untuk melaksanakan ibadah secara konsisten sepanjang bulan yang mulia. Ramadan harus disambut dengan perancangan, bukan sekadar menunggu kedatangannya.

Ramadan tidak memisahkan manusia daripada amanah dan tanggungjawab dunia. Bahkan, bekerja dengan jujur, amanah dan berintegriti dalam keadaan berpuasa merupakan sebahagian daripada ibadah yang bernilai. Disiplin yang dibina melalui puasa sepatutnya meningkatkan kesabaran, kawalan diri dan fokus dalam urusan harian, sama ada dalam pekerjaan, keluarga mahupun masyarakat. Ibadah tidak terhad di masjid, tetapi diterjemahkan dalam akhlak dan kualiti kerja.

Kesimpulannya, kesedaran bahawa ini mungkin Ramadan terakhir akan melahirkan kesungguhan yang luar biasa dalam beramal. Kesedaran ini mendorong seseorang untuk memperbanyakkan tilawah, menjaga anggota daripada dosa, meluaskan sedekah, menghidupkan malam dengan ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah dengan sepenuh hati. Perbezaannya jelas antara mereka yang hanya melalui Ramadan secara rutin, dan mereka yang benar-benar dibentuk, dididik dan diubah oleh Ramadan.

 

 

Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Dr. Mohd Shafiq bin Sahimi

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh)

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 23 Februari 2026: Melangkah Ke Ramadan: Persediaan Dan Perancangan Amalan 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2526601