Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bukan sekadar dokumen dasar biasa. Ia menzahirkan hala tuju yang jelas dan bercita-cita tinggi, melangkaui agenda teknokratik semata-mata untuk meningkatkan kedudukan universiti di peringkat global. RPTM menekankan pembinaan insan yang beradab, memperkukuh masyarakat dan memikul amanah masa hadapan. Fokus terhadap kemanusiaan, kelestarian dan kesejahteraan sosial menjadikannya satu dokumen yang membawa dan memperkasa kredibiliti moral, jarang ditonjolkan secara jelas dalam dasar pendidikan tinggi sebelum ini.
Namun, idea terhadap naratif semata-mata tidak cukup. Tahun 2026 perlu menjadi titik tolak fasa pelaksanaan sebenar dan bukan hanya perbincangan di atas kertas. Oleh itu, persoalan utama kini ialah bagaimana nilai kemanusiaan yang digariskan dalam RPTM dapat diterjemahkan ke dalam amalan harian institusi, budaya kampus dan pengalaman sebenar warga pendidikan tinggi.
Profesor Dr. Zainal Abidin Sanusi pernah menekankan bahawa kemanusiaan tidak boleh menjadi retorik indah semata-mata. Cabaran sebenar RPTM bukan pada kehebatan naratifnya tetapi keupayaan sistem untuk menzahirkan nilai-nilai ini secara konsisten, boleh dipertanggungjawabkan dan berkekalan.
Salah satu halangan utama ialah tanggapan bahawa nilai seperti adab, empati, integriti, dan kepekaan sosial sukar diukur. Dunia pengurusan pendidikan tinggi terlalu lama berfokus pada indikator kuantitatif seperti kedudukan ranking global, jumlah penerbitan, geran penyelidikan dan kadar kebolehpasaran graduan. Apabila sesuatu sukar dinilai dengan angka, ia sering diketepikan sebagai perkara simbolik atau sekunder. Justeru, universiti perlu berani mencari kaedah menilai nilai insaniah secara lebih matang dan realistik.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah mewajibkan Mata Pelajaran Umum (MPU) U1 hingga U4 bagi membentuk graduan holistik, berintegriti dan berdaya saing. Kursus ini menekankan kemahiran insaniah, pengukuhan jati diri, dan penerapan nilai murni. Malah, kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) turut ditawarkan yang bertujuan menanam kesedaran integirit dalam kehidupan harian dan dunia pekerjaan.
Namun, terdapat persoalan yang perlu direnung iaitu sejauh mana nilai-nilai dalam kursus ini benar-benar dihayati dan bukan sekadar dipamerkan untuk memenuhi rubrik penilaian. Dalam pendekatan pembelajaran berasaskan hasil (OBE), universiti menilai pencapaian pelajar pada tiga tahap iaitu hasil pembelajaran kursus (CLO), hasil pembelajaran program (PLO) dan objektif pendidikan program (PEO). Pendekatan ini membantu mengukur pencapaian kognitif, afektif dan psikomotor pelajar. Namun, ia juga boleh mendorong sikap pematuhan sementara. Misalnya, pada minggu penilaian pelajar akan lebih berdisiplin dan beretika, namun bagaimana pula dengan minggu-minggu lain, atau selepas mereka melangkah ke alam pekerjaan dan masyarakat? Fenomena pelajar meniru dalam ujian Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sendiri menjadi cerminan bahawa pencapaian formal ini belum tentu diterjemahkan kepada penghayatan nilai yang sebenar. Sekali lagi persoalan yang timbul adalah di manakah punca yang menyebabkan hal ini berlaku, adakah silabus yang lemah, penghayatan yang kurang atau penilaian yang tidak mengukur?
Nilai kemanusiaan sepatutnya terserlah dalam tindakan harian, biarpun kecil, tetapi memberi impak yang signifikan. Tindakan seperti tidak meninggalkan kertas terbiar di tepi tong sampah, mengucap salam dan terima kasih dengan ikhlas, atau membantu warga tua melintas jalan walaupun tanpa publisiti, mampu membentuk budaya kemanusiaan yang akhirnya menjejaskan interaksi sosial dan memperkukuh struktur institusi.
Pengukuran nilai kemanusiaan perlu menggunakan gabungan indikator kuantitatif dan kualitatif. Edaran soal selidik iklim kampus sepatutnya tidak hanya menilai kemudahan fizikal tetapi juga elemen seperti tahap saling menghormati, keadilan, keterlibatan suara mahasiswa, dan keselamatan emosi. Penilaian ini wajar dijalankan secara berkala dan dianalisis berdasarkan trend jangka panjang, bukan sekadar laporan skor yang akhirnya disimpan dalam arkib pejabat.
Penilaian reflektif wajar menjadi sebahagian daripada ekosistem akademik. Amalan refleksi sudah lama digunakan dalam bidang profesional untuk menilai kepekaan etika dan empati. Pendekatan ini boleh diperluas kepada pengalaman pembelajaran, penglibatan komuniti dan pengurusan konflik sosial di kampus. Tujuannya bukan menghukum, tetapi membina kesedaran kendiri dan tanggungjawab sosial.
Penglibatan dengan masyarakat juga perlu menjadi indikator keberhasilan. Pendidikan tinggi adalah platform untuk pelajar berlatih menghadapi realiti sosial. Program khidmat masyarakat, penyelidikan berimpak sosial, dan pembelajaran berasaskan komuniti wajar dinilai dari segi kedalaman hubungan, kesinambungan, dan manfaat sebenar kepada komuniti, bukan hanya bilangan aktiviti atau laporan tahunan. Pendekatan seperti ini telah dilaksanakan di banyak negara melalui service learning dan community engagement.
Di Indonesia, ia dikenali sebagai Kuliah Kerja Nyata (KKN), manakala Malaysia melalui program SULAM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia melaksanakannya menerusi kursus Khidmat Komuniti Siswa (KKS). Walaupun berbeza dari segi tahap pelaksanaan, mekanisme penilaian, dan falsafah pendidikan, semua pendekatan berkongsi matlamat yang sama iaitu membentuk graduan berjiwa masyarakat, beretika, dan bertanggungjawab, bukan sekadar mahir dari segi teknikal.
Nilai kemanusiaan perlu bermula daripada budaya institusi itu sendiri. Jurang dalam adab, integriti dan empati tidak akan dapat ditutup sekiranya institusi gagal mewujudkan budaya yang menyokong nilai kemanusiaan secara konsisten. Kepimpinan universiti perlu menjadi suri teladan kerana kemanusiaan bukan sahaja dituntut daripada pelajar, tetapi mesti dizahir dan dimulakan melalui tindakan dan keputusan dari peringkat tertinggi. Bagi memastikan nilai ini dapat diukur secara objektif dan berkesan, pengukuran kualitatif yang berstrategi perlu digabungkan dengan indikator kuantitatif. Menutup jurang ini juga bukan tugas sekejap, tetapi ia boleh dicapai secara berperingkat melalui kesungguhan struktural, keselarasan dasar, dan keberanian untuk menilai perkara yang selama ini dianggap “tidak boleh diukur.”
Sememangnya RPTM telah menetapkan arah yang betul. Tahun 2026 adalah masa untuk bertindak dengan berani iaitu menjadikan kemanusiaan bukan slogan, tetapi sistem; bukan retorik, tetapi realiti harian. Jika kita menerima bahawa tidak semua yang bernilai boleh dikira, tetapi semua yang bernilai boleh dinilai. Inilah masanya pendidikan tinggi Malaysia berpeluang kembali kepada terasnya untuk membina insan beradab, berempati, dan bertanggungjawab terhadap diri dan masyarakatnya.

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 14 Mac 2026: Tahun ini masa melaksanakan RPTM, bukan sekadar idea

2. Utusan (utusan.com.my), 14 Mac 2026: Tahun ini masa melaksanakan RPTM, bukan sekadar idea
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/03/tahun-ini-masa-melaksanakan-rptm-bukan-sekadar-idea/
