Transformasi digital mampu angkat Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau

Gambar sekadar hiasan.

Ekonomi MADANI telah dibentuk untuk meningkatkan martabat dan status negara untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau. Ekonomi MADANI merangkumi strategi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan, dan mengukuhkan industri tempatan agar lebih inovatif, kompetitif, dan mampu menembusi pasaran global. Rancangan Pembangunan Industri Baharu 2030 (NIMP 2030) adalah komponen penting dalam Ekonomi MADANI kerana ia akan menyokong pelaksanaan reformasi ekonomi. Pelan Induk ini mampu menjadi pemacu perubahan kepada lonjakan ekonomi negara menuju ke depan. NIMP 2030 akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital. Ia akan memperkasakan sektor pembuatan untuk memastikan Malaysia kekal kukuh dalam menghadapi cabaran global.

NIMP bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pemimpin global dalam pembangunan industri, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkuatkan kedudukannya dalam rangka nilai global. Peranan NIMP 2030 sangat penting dalam menjadikan Malaysia sebagai pemimpin dalam ekonomi Asia. Sektor pembuatan merupakan sektor yang penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Malaysia, dengan menyumbang kepada 2.7 juta perkerjaan.

NIMP 2030 akan meningkatkan nilai KDNK sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion pada tahun 2030 dan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.5% setahun. NIMP 2030 juga akan mewujudkan untuk 3.3 juta peluang pekerjaan sehingga tahun 2030. Selain itu, gaji median bagi sektor pembuatan dijangka dapat ditingkat sebanyak 9.6%, mencapai RM4,510 dari RM1,976.

 

Peningkatan Industri dan Pertumbuhan Ekonomi

Salah satu matlamat utama NIMP 2030 adalah meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menggalakkan peralihan kepada industri berteknologi tinggi. Pelan ini bertujuan untuk melonjakkan nilai tambah dalam sektor perindustrian dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Dengan fokus kepada perkembangan industri berimpak tinggi seperti Elektrik & Elektronik, Kimia, EV, Penerbangan, Farmaseutikal, dan Mineral dan Logam, Malaysia akan dapat mengukuhkan kedudukannya dalam arena ekonomi serantau.

 

Inovasi dan Keupayaan Teknologi

Untuk menjadi kuasa ekonomi serantau, Malaysia perlu memiliki keupayaan teknologi yang tinggi. NIMP 2030 perlu mempromosikan dan mengalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang berinovasi dan berteknologi tinggi. Peningkatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan Internet kebendaan (IoT) perlu menjadi asas kepada pembangunan industri dan produktiviti negara. Ini akan membantu Malaysia menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat bersaing dalam pasaran global. Dengan transformasi digital dan inovasi, Malaysia dapat meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja dan mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.

 

Pembangunan Modal IR 4.0

Pembangunan modal insan IR 4.0 adalah asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan. Pembangunan modal insan IR 4.0 perlu berdasarkan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). NIMP 2030 perlu memberikan penekanan yang tinggi kepada pendidikan dan latihan dalam bidang ini. Ini akan dapat membantu Malaysia menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi pasaran kerja global dan keperluan industri baharu yang berteknologi tinggi.

 

Pelaburan Asing dan Pelaburan Domestik

Untuk memacu pertumbuhan ekonomi, Malaysia perlu menarik pelaburan asing dan domestik untuk melabur dalam pasaran negara. Pelaburan Langsung Asing (FDI) sangat penting kerana mereka secara tidak langsung dapat meningkatkan Pelaburan Langsung Dalam Negeri (atau DDIs) kerana syarikat-syarikat multinasional yang berpangkalan di Malaysia akan mendapatkan produk dan perkhidmatan dari syarikat-syarikat tempatan.

NIMP 2030 juga perlu memberikan insentif seperti pengecualian cukai, insentif latihan, geran-geran digital dan kemudahan perniagaan yang lebih baik untuk menarik pelaburan. Ini akan membantu memacu pertumbuhan industri dan mencipta peluang pekerjaan. Insentif ini juga akan membantu sektor pembuatan untuk terus berdaya saing dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.

 

Pembangunan Infrastruktur yang Mampan

Infrastruktur yang kukuh adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan. Dalam NIMP 2030, pembangunan infrastruktur digital, rangkaian logistik, dan pelabuhan perlu ditingkatkan. Ini akan meningkatkan kemampuan Malaysia dalam mengeksport dan mengimport barang-barang dan perkhidmatan, serta memudahkan perniagaan dalam negara. Sebagai contoh, pelabuhan-pelabuhan yang moden akan mempercepatkan pengangkutan produk keluar dan masuk negara, meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia.

 

Kelestarian Alam Sekitar dan Penjagaan Sumber Semulajadi

Penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi adalah lestari dan mesra alam. NIMP 2030 perlu memberi tumpuan kepada pematuhan piawaian alam sekitar dan amalan-amalan mesra alam. Ini akan membantu Malaysia menjaga sumber-sumber semulajadi yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Melalui amalan lestari dan inisiatif hijau, Malaysia dapat mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi yang berdaya tahan dan mesra alam. Misi ini selaras dengan inisiatif di bawah Roadmap Transisi Tenaga Nasional (NETR) negara.

 

Perdagangan Serantau yang Meningkat

Malaysia mempunyai akses kepada pasaran serantau yang besar. NIMP 2030 perlu menggalakkan dan meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran-pasaran serantau dengan perjanjian perdagangan dan menjalankan usaha promosi perdagangan yang lebih agresif.

Untuk menubuhkan integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara-negara jiran, NIMP 2030 perlu menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh dengan negara-negara jiran untuk meningkatkan perdagangan di seluruh negara-negara ASEAN. Ini akan membantu meningkatkan eksport Malaysia dan mencipta lebih banyak peluang perdagangan.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) adalah langkah penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi serantau yang kukuh dan berdaya saing. Dengan pelaksanaan pelan ini, Malaysia akan mendapat peluang untuk memperkasakan industri, meningkatkan kemampuan teknologi, dan mencipta peluang pekerjaan yang memacu ekonomi negara yang mampan. NIMP 2030 hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama sepenuhnya dari semua pihak yang terlibat seperti agensi kerajaan, pemain industri, pemain teknologi dan pekerja.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe