Pelaksanaan model perniagaan digital menjadi semakin penting untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran era IR 4.0. PKS perlu mengambil serius terhadap transformasi digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manual dengan beralih kepada teknologi digital dan automasi. Kerajaan telah memperuntukan RM900 juta dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan. RM100 juta telah disediakan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 kepada lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

Penerapan model perniagaan digital ini bukan sahaja membolehkan PKS untuk memanfaatkan teknologi terkini, tetapi juga meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menyokong keberkesanan operasi perniagaan untuk meningkatkan daya saing mereka. Model perniagaan digital ini menekankan kepada teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar yang membantu meningkatkan efisiensi operasi. Teknologi ini membantu PKS mengurangkan kos tenaga kerja dan operasi untuk membolehkan mereka bersaing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

PKS perlu memahami keperluan teknologi yang sesuai dengan jenis perniagaan mereka. Penyesuaian model perniagaan digital mereka perlu dibuat berdasarkan kepada perubahan pasaran dan tuntutan pelanggan. Inovasi dalam pengurusan hubungan pelanggan dan pemasaran digital adalah penting untuk menarik lebih ramai pelanggan dan memastikan pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang. Perlaksaaan model ini membuka potensi yang besar kepada PKS untuk berkembang dan bersaing dalam landskap perniagaan IR 4.0.

Dalam usaha untuk melaksanakan model perniagaan digital, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi tumpuan oleh PKS.

Perubahan budaya

Pertama sekali, pemahaman dan penerimaan perubahan budaya dalam syarikat adalah kunci kepada kejayaan transformasi digital. PKS perlu menyedari bahawa inovasi bukan hanya berkaitan dengan penggunaan teknologi, tetapi juga melibatkan sikap dan kebolehan untuk mengadaptasi perubahan pasaran. Kepimpinan syarikat perlu memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan budaya inovasi dan memberi sokongan kepada perubahan digital. Langkah-langkah pendidikan dan latihan perlu diambil untuk memastikan pekerja memiliki kemahiran digital yang diperlukan.

Transformasi digital

Transformasi digital adalah langkah penting dalam merangka model perniagaan digital yang berkesan. PKS perlu memahami keperluan mereka, menganalisis operasi semasa dan mengenal pasti peluang penambahbaikan dalam syarikat. Sebagai contoh, perlaksanaan sistem ERP (Enterprise Resource Planning) dapat memudahkan pengurusan sumber daya yang lebih efisien dan efektif.

Kecerdasan buatan (AI)

Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga berperanan penting dalam meningkatkan daya saing PKS. Dengan menganalisis data pelanggan dan tingkah laku pasaran, PKS dapat menyesuaikan strategi pemasaran mereka dengan lebih berkesan. Sistem maklum balas dan pesanan AI dapat digunakan untuk meningkatkan proses pengesahan dan mempercepatkan perkhidmatan kepada pelanggan. Ini tidak hanya meningkatkan kepuasan pelanggan tetapi juga meningkatkan prestasi syarikat.

Infrastruktur teknologi maklumat

Pelaburan dalam infrastruktur teknologi maklumat juga perlu menjadi keutamaan. Pembangunan laman web yang mesra pengguna, penggunaan sistem pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) dan penerapan teknologi pintar adalah elemen penting dalam model perniagaan digital. Keputusan yang tepat memerlukan penggunaan data yang berkesan dan sistem analisis data yang tepat.

Kecekapan operasi melalui Internet kebendaan (IoT)

Konsep pembuatan pintar yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dapat meningkatkan proses pengeluaran. Internet kebendaan (IoT) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi. Dengan menghubungkan peralatan, proses dan IoT serta sistem analitik, PKS mampu memantau prestasi operasi secara masa sebenar dan membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat. Sebagai contoh, penggunaan sensor dalam gudang bekalan boleh membantu memantau inventori dan meramalkan keperluan stok secara berkesan. Peranti IoT juga boleh dipasang pada jentera pengeluaran untuk memantau prestasi dan meramalkan keperluan penyelenggaraan.

Pemasaran digital

Strategi pemasaran digital melalui media sosial, mesin pencari dan platform digital lain dapat membantu PKS mencapai pasaran yang lebih luas. PKS perlu menerokai platform-platform yang baharu untuk memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka. Penggunaan data pemasaran secara berkesan mampu membantu syarikat membuat penyesuaian strategi berdasarkan maklum balas dan kehendak pasaran. PKS juga perlu mempertimbangkan pembangunan platform e-dagang untuk memperluas cakupan pasaran mereka.

Pembangunan tenaga kerja

Pelaksanaan perniagaan digital bergantung pada keupayaan tenaga kerja. PKS perlu melibatkan pekerja dalam program latihan untuk meningkatkan kemahiran digital mereka. Ini merangkumi penggunaan perisian khusus, pemahaman tentang analitik data dan pengurusan keamanan siber. Pembangunan tenaga kerja yang berterusan dapat memastikan PKS bersedia menghadapi cabaran teknologi yang berubah dengan cepat.

Keselamatan siber sebagai keutamaan

Dalam konteks IR  4.0, keselamatan siber menjadi keutamaan. PKS perlu melindungi data pelanggan, maklumat perniagaan dan proses operasi mereka daripada ancaman siber. Penggunaan sistem keselamatan dapat menjamin sekuriti maklumat syarikat dan pelanggan untuk menjaga reputasi dan kestabilan perniagaan.

Kolaborasi industri dan ekosistem digital

Penglibatan dalam ekosistem digital dan kolaborasi antara PKS adalah kunci kepada kejayaan model perniagaan digital. PKS boleh menjalankan usaha bersama dengan pemain industri lain, menyediakan platform untuk pertukaran maklumat dan memanfaatkan kekuatan bersama untuk meningkatkan daya saing.

Pemantauan dan penilaian syarikat

Pemantauan dan penilaian berterusan terhadap prestasi model perniagaan digital adalah penting. Analitik data dapat membantu PKS mengumpul dan menganalisis data untuk mendapatkan maklumat yang terperinci tentang pasaran, trend pengguna, dan keberkesanan operasi mereka. Analisis data prestasi dapat membantu syarikat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, membolehkan penyesuaian dan penambahbaikan yang berterusan. Ini melibatkan kajian terhadap data pasaran, prestasi operasi dan maklum balas pelanggan.

Cabaran

Walaupun terdapat pelbagai manfaat dalam pelaksanaan model perniagaan digital, PKS juga menghadapi cabaran. Cabaran ini termasuk kos pelaburan awal, kekurangan kepakaran teknologi dan isu keselamatan siber. Walau bagaimanapun, kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi pendidikan untuk menyediakan latihan dan sokongan teknikal boleh membantu mengatasi cabaran ini.

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai bantuan keusahawanan kepada PKS dari segi kewangan dan bukan kewangan seperti sokongan pembangunan vendor tempatan, meningkatkan pembiayaan dan dana serta peruntukan untuk mempergiatkan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi produk tempatan. Oleh itu, PKS perlu memanfaatkan segala bentuk kemudahan dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan untuk berdaya saing dan berkembang dalam pasaran global.

Kesimpulannya,  pada era IR 4.0, model perniagaan digital adalah penting untuk meningkatkan daya saing PKS. Melalui transformasi digital, pemasaran digital, kecekapan operasi dengan IoT, analitik data, pembangunan tenaga kerja, keselamatan siber dan kolaborasi industri, PKS dapat mengoptimalkan potensi mereka dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital yang kompetitif. Kesediaan PKS untuk beradaptasi dengan perubahan pasaran akan menjadi penentu kejayaan dalam menghadapi cabaran dan peluang yang datang.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 5 Disember 2023: Meningkatkan daya saing PKS 

 

3. MyMetro (www.hmetro.com.my), 5 Disember 2023: Meningkatkan daya saing PKS 

https://www.hmetro.com.my/rencana/2023/12/1037224/meningkatkan-daya-saing-pks

 

4. the malay tribune (themalaytribune.com), 5 Disember 2023: Meningkatkan daya saing PKS 

https://themalaytribune.com/meningkatkan-daya-saing-pks/