Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari, Suriayati Baharom

Pelajar Sarjana Teknologi Kejuruteraan, Pung Yi Lin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat pertama dalam ‘Best BIM Research Postgraduate’ ketika menyertai pertandingan ‘Autodesk-JKR Asean Innovation & BIM Awards’ yang berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2023 lalu.

Pertandingan anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang berlangsung di Sime Darby Convention Center itu disertai 38 orang peserta dari universiti awam dan swasta seluruh Malaysia.

Dalam pertandingan tersebut, dua pelajar pasca siswazah UTHM dari FTK dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) berjaya berada di kedudukan 10 teratas dan seterusnya melayakkan mereka mara ke peringkat akhir.

Pung Yi Lin yang diselia oleh Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, pensyarah dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) mempertaruhkan projek bertajuk ‘JKR Building Information Modelling Project Execution Plans (BPEP) through a Real-Time Mobile Application Platform (MoB-MaS).

Projek tersebut merupakan kolaborasi bersama pihak JKR Malaysia dalam membangunkan sistem pengurusan projek pembinaan secara dalam talian, yang mana sistem itu akan diaplikasikan oleh pihak JKR sebagai sumbangan UTHM kepada industri.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan (TDPPP), FTK, Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid mewakili fakulti mengucapkan tahniah atas kejayaan yang diraih di peringkat ASEAN itu.

“Semoga kejayaan seumpama ini dapat menjadi inspirasi kepada semua warga UTHM untuk terus menyumbang dan memperkasakan ilmu kepada masyarakat dan industri.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Professional Industrial Training and Certification (PITC) atas pelaksanaan program persijilan kompetensi Building Information Modelling (BIM) di FTK sebelum ini,” katanya.