Oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Firdaus Md Dan @ Azlan

BANDUNG – Dua pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih anugerah ketika menyertai International Conference On “Case Histories in Geotechnical Engineering” & 4th Asrtc6 Urban Geoengineering Symposium Geocase 2023 yang diadakan pada 25 hingga 28 September lalu di Universitas Katolik Parahyangan, Bandung, Indonesia.

Dua pelajar tersebut iaitu Muhammad Syahmi Nazmi Badrul Hisham meraih tempat kedua bagi kategori ‘Undergraduate Student,’ manakala Kasbi Basri pula menjadi pemenang utama bagi kategori ‘Graduate Student’ sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah 175 USD sebagai ganjaran tambahan.

Turut serta, Muhamad Muammar Mohd Yazid, Aina Mardiah Zambri, Syazie Nordzaima Ali Mohamad dan Sher Ern Chong yang kesemuanya di bawah penyeliaan Prof. Ir. Ts. Dr. Adnan Zainorabidin.

Menurut Prof. Adnan, penyertaan pelajar di International Conference On “Case Histories In Geotechnical Engineering” & 4th Asrtc6 Urban Geoengineering Symposium Geocase 2023 itu bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan geologi secara terperinci dan kaedah terkini dalam menyelesaikan masalah berkaitan geologi.

“Penyertaan peringkat antarabangsa ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pendedahan berkaitan kepelbagaian bentuk struktur geologi yang menarik dan kreatif sekali gus dapat bertukar pandangan dan idea inovasi bersama para pelajar dari negara lain.

“Selain itu, penyertaan ini juga memberi ruang kepada pelajar untuk turut sama berkongsi idea dan pandangan terutama dalam membantu pihak tuan rumah iaitu Indonesia menyelesaikan masalah geologi dalam pembangunan yang sedang dihadapi mereka,” katanya.

Pertandingan tersebut turut disertai oleh peserta dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Malaysia, Taiwan, Singapura, Vietnam dan Jepun.