Oleh Norain Azal, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Seramai 252 graduan pascasiswazah (penyelidikan) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dirai dalam Majlis Pemakaian Hud Pascasiswazah 2023 Kali Ke-11 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim pada 30 November 2023.

Majlis tersebut diadakan bagi merai kejayaan graduan pascasiswazah serta mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada penyelia untuk memakaikan hud kepada graduan masing-masing sebagai tanda kejayaan menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dan sarjana secara penyelidikan.

Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan majlis anjuran bersama Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL serta Pusat Kepimpinan dan Kompetensi.

Dato’ Ruzairi dalam ucapannya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan, penyelia utama dan para penerima anugerah.

Beliau melahirkan pengharapan agar para graduan selepas ini dapat melibatkan diri secara aktif sebagai Alumni UTHM sebagai tanda sokongan kepada universiti ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Azme Khamis; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Sr. Ts. Dr. Haji Lokman Hakim Haji Ismail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Naim Maslan; Penolong-penolong Naib Canselor, Dekan-Dekan serta ahli Senat.

Turut diadakan, penyampaian beberapa anugerah pascasiswazah iaitu Best Publication Award, Best Agent Award, Best Introducer Award, Highest Intake Postgraduate Programme Award, Outstanding International Enrollment Award, Outstanding “Program Serapan” Award, Best Faculty Award for Research Graduate dan UTHM EduTrain Industry Oustanding Students Award.     

Pada masa yang sama, majlis tersebut turut meraikan sembilan graduan Diploma Eksekutif Penerbangan Profesional dan Penyampaian Sijil Kepimpinan dan Pengurusan Bakat kepada 21 penerima Pensijilan Kepimpinan dan Pengurusan Bakat.