Oleh Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Muhamad Adli Faezal Rosnan, Amir Danish Al Muhaimin Mazuhairi, Mohamad Aizat Bonyamin

MALANG, INDONESIA – Seramai 28 pelajar daripada program Sarjana Muda Sains Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program Mobiliti Outbound Antarabangsa Berkredit Malang 2023 yang telah dilaksanakan pada 24 September hingga 1 Oktober lalu.

Program tersebut berjaya dilaksanakan hasil kerjasama tiga universiti dari dua negara, iaitu UTHM mewakili Malaysia serta Institut Teknologi Nasional (ITN) Malang dan Universitas Negeri Malang (UM) mewakili Indonesia.

Program mobiliti itu diadakan bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara UTHM bersama ITN Malang dan Universitas Negeri Malang, terutama yang dapat menyumbang secara langsung dalam bidang pengajaran, kajian ataupun program kemasyarakatan.

Selain itu, pelaksanaan program itu juga membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali program Senibina yang dijalankan di Indonesia serta mempelajari keunikan budaya serta seni bina khususnya di kota Malang.

Para pelajar UTHM turut diiringi dua pensyarah dari Jabatan Senibina, iaitu Khairul Asyraf Mohd Rodzi dan Muhamad Adli Faezal Rosnan sepanjang keberadaan mereka di Indonesia.

Menurut Khairul Asyraf, program itu dapat dilaksanakan hasil komitmen berterusan yang diberikan oleh Prof. Ir. Dr. Lalu Mulyadi dari ITN Malang yang juga merupakan Profesor Pelawat FKAAB, UTHM, sambil dibantu oleh beberapa tenaga pengajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan iaitu Dr. Debby Susanti dan Ir. Gaguk Sukowiyono serta Dr. Muhamad Aris Ichwanto dari UM.

“Antara aktiviti yang dijalankan, kuliah umum, lawatan penanda aras (benchmarking) di fasiliti serta kemudahan di ITN Malang, kajian lapangan terhadap bangunan-bangunan warisan di Kota Kayutangan, Malang, mendaki gunung Bromo dan Semeru serta lawatan ke Masjid Tiban Turen.

“Sesi perkongsian maklumat berhubung pelaksanaan program turut dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti program kedua-dua institusi pengajian tinggi pada masa akan datang.

“Selain itu, para pelajar juga telah terlibat secara langsung dalam projek lukisan terukur (measured drawing) bangunan warisan di Kota Kayutangan yang telah disusun oleh pihak ITN Malang sambil dibantu oleh Ir. Budi Fathony, yang juga merupakan pakar dalam bidang seni bina warisan di Kota Kayutangan,” jelas beliau.

Para pelajar juga diberi peluang untuk turut serta dalam kuliah bersama pelajar-pelajar ITN Malang sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka menghadapi suasana pembelajaran di IPT luar negara.