Oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr Norashidah Abd Rahman

TAIPEI – Empat pelajar tahun empat Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih anugerah ‘Efficiency Ratio Certificate of Excellent’ ketika menyertai pertandingan ‘Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools (IDEERS)’ pada 21 hingga 23 September 2023 lalu.

Kumpulan pelajar tersebut berjaya meraih tempat ketujuh daripada 42 kumpulan yang bertanding.

Berada di kelompok 10 terbaik, mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah NTD2,000.

Empat pelajar yang menyertai pertandingan itu terdiri daripada Muhammad Yuslan Mohd Yusop, Nurul Maizatul Najihah Basirun, Nur ‘Awatif Haziqah Mohd Rosli dan Mohammad Hafiy Johan,yang diselia oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman.

Menurut Dr. Norashidah penyertaan pelajar di IDEERS 2023 bertujuan memberi pendedahan berkaitan mereka bentuk struktur bagi ketahanan terhadap rintangan gempa bumi.

“Melalui pertandingan itu, mereka juga didedahkan tentang kepelbagaian bentuk struktur yang menarik dan kreatif, sekali gus berpeluang bertukar pandangan dan idea bersama rakan-rakan pelajar dari negara lain.

“Penyertaan di pertandingan seumpama ini mampu memberi nilai tambah kepada pelajar terutamanya dalam memberi idea dan pandangan baharu berkaitan mereka bentuk struktur bangunan ketika berada di industri kelak,” kata Dr. Norashidah.

Selain Malaysia, kumpulan pelajar daripada Filipina, Hong Kong, Indonesia, Korea, Taiwan, Thailand, Singapura  dan  Vietnam turut menyertai pertandingan tersebut yang diadakan selama tiga hari bertempat di National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE), Taipei, Taiwan.