ICONCEES 2023 medan perkongsian penulisan ilmiah peringkat antarabangsa

Oleh Dr. Zaihasra Abu Talib

KUALA LUMPUR – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan persidangan antarabangsa, International Conference on Civil and Environmental Engineering for Sustainability (IConCEES 2023) untuk kali yang ke-7 pada 9 dan 10 Oktober 2023 lalu.

Persidangan yang merupakan acara dwi-tahunan telah dijalankan secara fizikal di Impiana KLCC, Kuala Lumpur dan secara maya melalui aplikasi “Microsoft Teams”.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Normah Osman selaku wakil rasmi Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia hadir menyempurnakan majlis persidangan yang diadakan pada 9 Oktober lalu.

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Pegawai-pegawai Kanan universiti dan para peserta dari dalam dan luar negara.

Bertemakan “Engineering A Better Future: Multidisciplinary Perspectives on Sustainable Development”, sesi ucaptama disampaikan oleh dua pakar iaitu Dato’ Normah Osman dan Prof. Dr. Obiya Hiroyuki dari Saga University.

Manakala dua lagi ucaptama dibuat secara maya disampaikan oleh Prof. Dr. Tavio dari Institut Teknologi Sepuluh Nobember dan Prof. Ir. Ts. Dr. Adnan Zainorabidin dari UTHM.

Dato’ Normah berkongsi berkaitan topik “Sustainable Transport in Malaysia” manakala Prof. Dr. Obiya  pula berkongsi tentang penyelidikan beliau bertajuk “Strict Tangent Geometrical Stiffness for Ultra Large Displacement Analysis – Two Different Approach -”.

Manakala Prof Dr Tavio menyampaikan penyelidikan bertajuk “Environmentally Friendly Biomaterial Innovation for Retrofitting of Houses and Low-Rise Buildings in Indonesia” dan Prof. Ir. Dr. Adnan dengan tajuk “Forensic in Geotechnical Engineering.”

Secara keseluruhan, sebanyak 108 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan oleh peserta yang hadir dari Malaysia, Indonesia, Pakistan dan juga Serbia.

Pelbagai hasil kajian yang dibentangkan mengikut tema persidangan ini merangkumi bidang alam bina, persekitaran dan sumber asli, pengangkutan dan infrastruktur serta struktur dan bahan.

Menurut pengerusi persidangan, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohammad Razi persediaan rapi hampir setahun telah dibuat bersama ahli jawatankuasa bagi memastikan persidangan ini berjalan dengan lancar.

“Pihak kami menerima maklum balas positif daripada peserta dan ini membuktikan persidangan ini sudah diterima oleh penyelidik dunia sebagai satu platform pembentangan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FKAAB,  Profesor Madya Dr. Rafidah Hamdan merangkap Timbalan Pengerusi persidangan pula berkata penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan fakulti dan universiti di persada dunia sekali gus sebagai medan perkongsian penulisan ilmiah peringkat antarabangsa.

 

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar
Subscribe