Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Mohd Nazrin Musling

PAGOH – Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF) telah mengadakan program derma darah pada 03 April 2023 lalu bagi membantu pihak hospital memastikan stok bekalan darah mencukupi di bulan Ramadan.

Menurut Timbalan Pengetua 1, KKKP, Ing. Ts. Dr. Mohd Faisal Hushim setiap kali datangnya bulan Ramadan, jumlah penderma darah mengalami penurunan yang agak ketara.

“Walaupun menderma darah ketika sedang berpuasa itu dibolehkan, namun segelintirnya mengelak untuk berbuat demikian kerana khuatir ia akan menjejaskan aktiviti harian.

“Stok bekalan darah perlu berada di tahap optimum bagi memastikan bekalan darah mencukupi apabila diperlukan terutamanya apabila berlaku keadaan di luar jangka,” katanya.

Namun begitu, program derma darah yang dijalankan pada 03 April 2023 lalu bertempat di dewan kolej kediaman Pagoh berjaya mendapat perhatian dan sokongan yang tinggi daripada penghuni kolej berkenaan.

“Kira-kira 300 pelajar hadir lebih awal selepas berbuka puasa bagi memastikan masing-masing dapat menderma darah.

“Namun hanya sebahagian yang dapat menderma kerana sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital telah tercapai,” katanya.

Melalui program tersebut, HPSF meletakkan sasaran sebanyak 50 beg darah namun jumlah yang berjaya dikumpul menghampiri 70 beg.

Manakala pihak KKKP pula meletakkan sasaran melaksanakan program derma darah sebanyak dua kali pada bulan Ramadan ini.

“Ini bagi menunjukkan komitmen dan keprihatinan warga KKKP dan UTHM dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

“Program ini juga diharapkan dapat memupuk nilai positif dan sifat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UTHM,” kata Dr. Faisal.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 16 April 2023: UTHM – HPSF pastikan stok darah mencukupi

UTHM – HPSF KERJASAMA PASTIKAN STOK DARAH MENCUKUPI