Oleh Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab, Prof. Madya Ts Dr. HairulNizam Mahdin

BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Kem Akademik Kemilau Permata di bawah Program Sekolah Angkat bersama Sekolah Menengah Tunku Mahmood Iskandar, Batu Pahat.

Program yang dilaksanakan pada 27 dan 28 Januari 2023 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk itu bertujuan memberi motivasi dan semangat baharu kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Menurut penyelaras program, Prof. Madya Ts. Dr. HairulNizam Mahdin, program bersama sekolah angkat ini bertujuan untuk memberi khidmat sosial kepada komuniti di sekitar UTHM sekali gus menjalin hubungan baik antara pensyarah, pentadbir universiti dan sekolah di sekitar Johor.

“Objektif program ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai suasana pembelajaran di universiti dan meningkatkan motivasi para pelajar agar bersungguh-sungguh dalam pelajaran hingga berjaya ke menara gading,” katanya.

Program yang disertai 120 pelajar tingkatan lima tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan guru-guru sekolah berkenaan.

Antara pengisian kem tersebut, sesi perkongsian ‘Teknik Menjawab Soalan SPM’ daripada guru-guru yang berpengalaman, ‘Slot Riadah’ bersama Pensyarah FSKTM, Suriawati Supajoh dan ‘Slot Motivasi’ bersama Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab.

Manakala, majlis penutup program perkongsian ilmu tersebut disempurnakan oleh Timbalan Akademik dan Antarabangsa FSKTM, Dr. Zubaile Abdullah.

Beliau dalam ucapannya berharap motivasi dan persediaan para peserta menghadapi SPM dapat dipertingkatkan sekali gus berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

Hadir sama, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Hajah Hamimah Hashim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Fazlinda Shuhaimi, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Muslem Sarmin serta kaunselor dan guru-guru tingkatan lima.