KLUANG – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Center of Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah melaksanakan Program Sekolah Lestari 2023 bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berkaitan pengurusan sisa dan penjagaan alam sekitar.

Program perkongsian ilmu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Mahmood (1) Kluang pada 1 Februari lalu itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar dan guru sekolah terbabit.

Satu sesi ceramah bertajuk “Sayangi Bumi Kita” telah diadakan bagi mencapai objektif program.

Ceramah tersebut disampaikan oleh penyelidik utama CSIEM, Profesor Ts. Dr. Seow Ta Wee yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan sisa khususnya dalam aspek pengurusan sumber manusia, teknologi dan alam sekitar.

Menurut Ketua CSIEM, Profesor Madya. Ts. Gs.Dr. Sulzakimin Hj Mohamed, program yang melibatkan pelajar sekolah itu diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mereka tentang pengurusan sisa serta amalan terbaik dalam menjaga alam sekitar.

Program tersebut juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelajar sekolah untuk berinteraksi dan berkongsi ilmu baharu selain daripada pembelajaran dalam bilik darjah.

Tambah beliau melalui program itu juga, CSEIM turut menandatangani surat perjanjian sebagai simbolik kepada hasrat kerjasama yang akan dijalinkan dengan sekolah berkenaan.

 “Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus bekerjasama menganjurkan banyak lagi program ilmiah pada masa akan datang,”katanya.

CSEIM berharap penganjuran program sebegitu dapat diteruskan lagi memandangkan ianya berpotensi dalam memberi perspektif dan idea yang pelbagai kepada warga sekolah untuk lebih memahami makna lestari.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 16 Februari 2023 : CSIEM UTHM didik murid jaga alam sekitar

CSIEM UTHM DIDIK MURID JAGA ALAM SEKITAR