Pelajar-atlet memainkan peranan penting kepada institusi pendidikan tinggi dengan menyumbang kepada pencapaian sukan serta membantu kepada keterlihatan persekitaran akademik. Jika melihat kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) mereka memberi impak kepada beberapa matlamat seperti mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui aktiviti fizikal, mengekalkan pencapaian akademik dalam mengutamakan pendidikan, mengimbangi stereotaip gender untuk mempromosikan kesaksamaan dalam sukan, serta mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti untuk mengurangkan ketidaksamaan. Dengan itu, keberadaan pelajar-atlet di institusi pengajian tinggi bukan sahaja cenderung kepada kecemerlangan sukan malah membantu kepada menyokong persekitaraan universiti yang dapat mencipta masyarakat yang lebih inklusif, berbilang budaya dan sejahtera.

Melihat kepada setiap Matlamat Ketiga iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, Pelajar-atlet yang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal secara berkala cenderung untuk sentiasa menjaga kesihatan dan kesejahteraan yang baik. Penglibatan dalam sukan memerlukan disiplin, yang membawa kepada gaya hidup yang lebih sihat secara keseluruhan. Ia sekali gus dapat membantu memupuk pembudayaan gaya hidup yang sihat dalam kalangan persekitaraan mereka.

Selain itu, Matlamat Empat iaitu Pendidikan Berkualiti menunjukkan Pelajar-atlet dikehendaki mengekalkan kelayakan akademik untuk mengambil bahagian dalam sukan. Ini bermakna mereka harus mengutamakan pendidikan mereka, yang membawa kepada prestasi akademik yang kukuh. Peranan universiti dalam memberikan sokongan akademik kepada pelajar-atlet untuk membantu mereka menyeimbangkan tanggungjawab akademik dan pencapaian sukan mereka.

Pelajar-atlet juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada mengimbangi stereotaip gender dan mempromosikan kesaksamaan gender dalam sukan. Peningkatan penglibatan wanita dalam sukan di peringkat kolej telah membawa kepada peluang yang lebih besar bagi atlet wanita untuk mengejar kerjaya profesional dalam sukan sewaktu mereka berada di universiti. Oleh itu perkara ini selari dengan matlamat SDGs kelima iaitu Kesaksamaan Gender.

Penyertaan dan peluang bagi pelajar-atlet menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) sekali gus membantu kepada memacu mobiliti sosial, menyediakan peluang untuk pelajar-atlet dari latar belakang kurang berkemampuan untuk mengakses pendidikan tinggi serta memperoleh kemahiran dan pengalaman berada di universiti secara menyeluruh dan ia selari dengan Matlamat Kesepuluh iaitu Mengurangkan Ketidaksamaan. Selain itu, penyertaan dan pembudayaan aktiviti sukan oleh pelajar-atlet di universiti sekali gus membantu mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti, membawa orang dari latar belakang yang berbeza bersama-sama dan membina kesefahaman dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Justeru itu, pelajar-atlet adalah aset yang berharga bagi IPT, dalam menyumbang kepada pencapaian dalam sukan dan serta akademik. Mereka juga sekali gus memberi impak terhadap beberapa Matlamat Pembangunan Mampan yang kita mungkin tidak sedari dengan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik, mengekalkan kelayakan akademik, mengimbangi stereotaip gender serta mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti. Sudah tiba masanya, pelajar-atlet seharusnya disertakan bersama sebagai golongan yang penting untuk melengkapkan ekosistem di IPT ke arah menyokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan.

 

Dr. Mohd Zulfadli Rozali

Jabatan Iktisas Pendidikan dan Profesional

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Mac 2023: Peranan pelajar-atlet terhadap pendidikan tinggi

https://malaysiagazette.com/2023/03/02/peranan-pelajar-atlet-terhadap-pendidikan-tinggi/#:~:text=PARA%20pelajar%20atlet%20memainkan%20peranan,membantu%20kepada%20keterlihatan%20persekitaran%20akademik.

 

2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 10 Mac 2023: Peranan mahasiswa atlet kepada pendidikan tinggi dan Matlamat Pembangunan Mampan

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/peranan-mahasiswa-atlet-kepada-pendidikan-tinggi-dan-matlamat-pembangunan-mampan/news

 

3. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 10 Jun 2023: Peranan mahasiswa atlet kepada pendidikan tinggi dan Matlamat Pembangunan Mampan

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/peranan-mahasiswa-atlet-kepada-pendidikan-tinggi-dan-matlamat-pembangunan-mampan

 

4. MSN (msn.com), 10 Jun 2023: Peranan mahasiswa atlet kepada pendidikan tinggi dan Matlamat Pembangunan Mampan

https://www.msn.com/en-my/news/berita/peranan-mahasiswa-atlet-kepada-pendidikan-tinggi-dan-matlamat-pembangunan-mampan/ar-AA1clnCQ