Oleh Syukri Yazed dan Yau Zhao Zheng

BATU PAHAT – Bagi berkongsi ilmu tentang pengurusan bencana banjir, pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti telah menganjurkan Seminar Rumah Terapung bagi memperkenalkan konsep rumah terapung sebagai alternatif kepada masyarakat yang kediamannya sering dilanda banjir.

Menurut pengajar kursus, Syukri Yazed Malaysia mengalami banjir besar yang pertama yang dicatatkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pada tahun 1969 dan bencana itu berlarutan setiap tahun sehingga kini.

“Pelbagai bantuan seperti penempatan, makanan, keperluan harian dan kewangan diberikan oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan dan kehilangan harta benda.

“Namun perlu ada satu usaha lain untuk membantu mangsa banjir yang sering berpindah keluar dari kediaman apabila banjir melanda,” katanya.

Makanya satu seminar yang dikendalikan oleh 34 pelajar kursus berkenaan telah diadakan pada Januari lalu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membina satu kediaman yang selamat daripada bencana itu.

Seminar itu diadakan hasil daripada pelaksanaan projek ‘Sustainable Engagement Projectl’ (SEP) yang pertama kali ini diperkenalkan oleh Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum (PPUK) dalam usaha menerapkan salah satu daripada 17 nilai ‘Sustainable Development Goal (SDG).

“Projek ini memberi tumpuan kepada inovasi reka bentuk dan fungsi rumah terapung bagi mengatasi masalah banjir sekali gus sebagai usaha mencapai matlamat nilai SDG yang ke-13 iaitu Climate Action,” katanya.

Turut serta, Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes dan Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi, dan Sastera Liberal, Dr. Mohd Azhar Harimon.

Dr. Lutfan dalam ucapannya berkata, perkongsian ilmu seumpama itu adalah permulaan kepada pelajar untuk menghasilkan suatu produk yang boleh dikomersial dan dibentangkan kepada pihak kerajaan serta NGO bagi mewujudkan satu penempatan yang selamat untuk kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan banjir.

“Namun begitu, perlu diperincikan dengan lebih jelas lagi setiap bahan dan sistem dalam model perumahan itu untuk menjadikan projek rumah terapung sebagai rumahku syurgaku,” katanya.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 7 Februari 2023: Rumah terapung kediaman alternatif lokasi banjir

https://malaysiagazette.com/2023/02/07/rumah-terapung-kediaman-alternatif-lokasi-banjir/

 

2. Kosmo (muka surat: 15), 10 Februari 2023: Rumah terapung bantu mangsa banjir 

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 30), 10 Februari 2023: Rumah terapung jadi alternatif di kawasan banjir 

4. Utusan (utusan.com.my), 10 Februari 2023: Rumah terapung jadi alternatif di kawasan banjir

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/rumah-terapung-jadi-alternatif-di-kawasan-banjir/

 

5. Melaysiakini (melaysiakini.com), 10 Februari 2023: Rumah terapung jadi alternatif di kawasan banjir

https://www.melaysiakini.com/rumah-terapung-jadi-alternatif-di-kawasan-banjir-77121.html

 

6. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my): Rumah terapung UTHM alternatif atasi masalah banjir

RUMAH TERAPUNG UTHM ALTERNATIF ATASI MASALAH BANJIR